
TUMPAT: Ribuan anak muda membanjiri Pantai Geting dekat sini bagi mengikuti program Demo Tanya Ambo Jawab sempena Himpunan Anak Muda Bermaruah Ppakat Pertahan Kelantan parlimen Tumpat petang ini.
Program tersebut menampilkan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus dan pelawak Sabri Yunus dengan dimoderator Ketua Pemuda PAS Tumpat, Hushaimi Husian.
Program tersebut yang bermula selepas solat Asar menyaksikan orang ramai penuh sesak di hadapan pentas utama.
Kedatangan Ustaz Azhar diiringi konvoi motosikal anggota Alternative Riding Club (ARC) termasuk yang menunggang motosikal berkuasa besar dan pelbagai jenis motosikal serta jenama.
Tempat himpunan juga terdapat deretan lori dan van yang pernah terbabit dengan perarakan mengibar bendera PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) ke seluruh Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Kumpulan lori tersebut pernah diviralkan pada kempen PRU15 menyemarakkan lagi kebangkitan rakyat yang melanda Kelantan dan sebahagian besar negeri pada kempen PRU15.
Sebahagian besar yang berkumpul di Pantai Geting petang ini merupakan anak-anak muda. Himpunan di Tumpat menggambarkan gelombang kebangkitan rakyat masih marak di Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/6/2023