Annuar Musa sah diterima masuk sertai PAS

- Advertisement -

SEREMBAN: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Panglima Annuar Musa telah sah menjadi ahli PAS di mana menerima serahan sijil keahliannya sempena Ceramah Perdana PERIKATAN NASIONAL (PN) di Senawang, di sini sebentar tadi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, permohonan keahlian beliau dan lebih 3,000 permohonan lain telah diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, di Port Dickson hari ini.

Perkara tersebut diumumkan beliau itu disertakan serahan sijil keahlian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Annuar di hadapan hadirin pada majlis ini.

Annuar Musa juga sebelum ini adalah Ahli Parlimen Ketereh daripada Barisan Nasional (BN) dan pernah memegang beberapa kementerian dalam Kerajaan BN dan PN tiga Perdana Menteri.

Terdahulu, Takiyuddin juga dalam ceramahnya itu membidas banyak kegagalan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama tempoh enam bulan setakat ini.

Beliau menyifatkan Malaysia kini sedang ditadbir oleh kerajaan yang tidak tahu ke mana hala tujunya dan menimbulkan pelbagai resah gelisah lantaran dilihat tidak membawa sebarang idea dan penyelesaian masalah.

“Di dalam Parlimen, kami Ahli Parlimen PN membangkitkan tidak ada perancangan dibuat oleh kerajaan untuk menghadapi persidangan Parlimen yang masih lagi berbaki satu minggu. Tidak banyak undang-undang yang dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. 

“Itu adalah tugas utama Parlimen meluluskan undang-undang, membawa Rang Undang-undang. Kami PN bangkitkan perkara ini, tidak dapat dijawab oleh pihak kerajaan sehingga ke hari ini.

“Apa yang dia bawa ke Parlimen oleh kerana kita bangkitkan isu ini ialah perkara-perkara yang sebenarnya tak perlu dibahaskan di Parlimen seperti laporan Ketua Audit Negara, yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara.

“Tak perlu dibahaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Tetapi itu yang dibawa. Dia bawa laporan Ketua Audit Negara untuk dibahaskan, tetapi pada masa yang sama hampir 6 bulan Ketua Audit Negara belum dilantik oleh kerajaan PMX.

“Adakah beliau takut kerajaan mereka diaudit oleh seorang Ketua Audit Negara? Itu persoalannya,” ujar Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mempertikai banyak kegagalan kerajaan Anwar.

Memandangkan PRN tidak lama lagi akan turut melibatkan Negeri Sembilan, beliau menyeru agar dijadikan referandum rakyat penolakan pentadbiran Anwar dengan memberi undi kepada PN. – HARAKAHDAILY 10/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -