Kelantan salur hampir RM300,000 tingkat sektor perikanan

Foto daripada Facebook Dato' Ahmad Yakob.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan menyalurkan peruntukan bernilai hampir RM300,000 untuk meningkatkan sektor perikanan di negeri ini sekali gus menyumbang kepada bekalan makanan negara.

- Advertisement -

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata daripada jumlah itu, RM51,617 disalurkan membabitkan bantuan pukat kepada 247 nelayan darat di bawah Program Perkhidmatan dan Galakan Teknologi Pengendalian Ikan.

Katanya, bagi menitikberatkan peningkatan aktiviti ternakan akuakultur, kerajaan negeri turut menyalurkan RM170,695 menerusi Bantuan Input Ternakan Akuakultur bagi Peningkatan Aktiviti Ternakan Akuakultur dan Sokongan kepada 35 penternak atau Komuniti Akuakultur Kelantan.

“Selain itu, bantuan turut meliputi peralatan menangkap ikan seperti pukat udang tiga lapis, pukat kaya dan pukat ketam di bawah Program Peningkatan Pendaratan Ikan dan Kesejahteraan Nelayan membabitkan nilai RM52,950.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban golongan sasaran selain penekanan program sektor perikanan ini amat penting agar dapat meningkatkan pengeluaran ikan sekali gus meningkatkan kualiti penternakan akuakultur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) & myKOMUNITI Perikanan (myKP) Zon Timur Tahun 2023 di Dataran Bahtera Tok Bali di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Sementara itu, pada perkembangan sama, Adnan berkata pada tahun ini Jabatan Perikanan Negeri Kelantan telah disalurkan dengan peruntukan pembangunan menerusi program Pengembangan Perikanan sebanyak RM46,300.

Katanya, selain itu bagi penternakan akuakultur, sebanyak RM133,579 disalurkan untuk bantuan Input Ternakan Akuakultur kepada 15 penternak akuakultur bagi meningkatkan aktiviti ternakan.

“Selain itu, sebanyak RM360,000 turut disalurkan untuk pelaksanaan Program Pembangunan 11 tukun tiruan dasar lembut (konservasi) penghalang pukat tunda yang akan dilabuhkan pada minggu kedua Julai depan di Perairan Pasir Puteh di sini.

“Dengan peruntukan pembangunan persekutuan dan sokongan yang padu daripada kerajaan negeri, kita mengharapkan program-program pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun ini selain jabatan juga akan sentiasa memberi ilmu dan bimbingan kepada kumpulan sasar bagi peningkatan sosioekonomi dalam sektor perikanan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -