Kesuraman ekonomi bakal tenggelamkan PH-BN di Selangor

- Advertisement -

MESKIPUN pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini adalah positif iaitu pada kadar 5.6 peratus, tidak dapat disangkal lagi hari ini Malaysia sedang menghadapi kemuraman ekonomi. Kemerosotan nilai Ringgit, kejatuhan Indeks Bursa Malaysia, peningkatan inflasi, ketidakseimbangan eksport import, peningkatan kos sara hidup dan lain-lain lagi, memperlihatkan negara sedang berhadapan dengan kegawatan ekonomi sekiranya Kerajaan PH-BN gagal mengambil langkah-langkah untuk membendungnya.

Tidak mustahil sekiranya situasi kemuraman ekonomi ini berterusan, pertumbuhan ekonomi untuk suku-suku berikutnya menjadi perlahan, malah kemungkinan juga boleh berlaku pertumbuhan negatif. Sehingga hari ini, sikap Kerajaan PH-BN sekadar tunggu dan lihat terhadap perkembangan ekonomi semasa, dan tidak kelihatan langkah-langkah bernas apatah lagi formula-formula di luar kotak untuk menangani kemuraman ekonomi yang sedang dihadapi.

Kemuraman ekonomi ini sudah pasti akan memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, terutama rakyat teramai yang menjadi pengguna terakhir kepada setiap pengeluaran mahupun perkhidmatan. Hari ini, rata-rata rakyat teramai mengeluh dengan peningkatan harga barangan keperluan dan peningkatan kos sara hidup khususnya masyarakat di bandar dan pinggir bandar sekitar Lembah Klang. Kos sara hidup masyarakat sekitar Lembah Klang sememangnya tinggi berbanding tempat-tempat yang lain.

Menjelang PRN Selangor dan negeri-negeri lain yang bakal berlangsung antara Julai hingga Ogos akan datang, kemuraman ekonomi negara bakal menjadi hambatan besar kepada PH-BN. Kegagalan Kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan dalam menangani kemuraman ekonomi ini, dijangka akan mempengaruhi pengundi-pengundi untuk membuat referendum supaya tampuk pemerintahan negara ditukar. Setakat ini, dua orang Ahli MKT Umno turut memberi peringatan yang hampir sama.

Seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini, PH-BN bakal menghadapi undi protes dari pengundi-pengundi tradisi masing-masing, yang tidak boleh menerima pengkhianatan pimpinan-pimpinan PH-BN terhadap prinsip-prinsip perjuangan mereka sebelum ini. Dengan wujudnya kecenderungan rakyat teramai untuk membuat referendum terhadap kegagalan Kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan, sudah tentu gabungan PH-BN akan menghadapi laluan sukar memenangi PRN khususnya di Selangor.

PH dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka akan meneruskan naratif tradisi mereka, iaitu memerangi salah guna kuasa dan rasuah. Kali ini naratif itu dijangka tidak lagi boleh memikat pengundi-pengundi kerana setelah berkuasa, PH tidak melaksanakan agenda-agenda reformasi yang digembar-gemburkan. Contohnya, janji untuk memisahkan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dilanggar, manakala jawatan-jawatan GLC dan agensi terus diisi oleh figura-figura politik.

Umno pula diyakini kehilangan naratif mereka, kerana semua prinsip-prinsip tradisi yang diperjuangkan oleh generasi Umno terdahulu telah disapu ke tong sampah oleh gerombolan pimpinan tertinggi mereka. Mereka yang mengikuti perjuangan Umno sejak ia ditubuhkan, dapat memerhatikan parti itu sedang terjelepuk di kaki Anwar, individu yang menjadi musuh utama mereka sejak lebih dua dekad yang lalu. Malah, rumah agam Umno kini menjadi persinggahan DAP, parti yang terus mendukung Malaysian Malaysia.        

Melihat kepada perkembangan tersebut, kemuraman ekonomi negara dilihat akan menjadi naratif kempen utama yang bakal mempengaruhi pengundi, bukan lagi naratif salah guna kuasa dan rasuah yang sering dimainkan oleh PH dan bukan lagi naratif anti Malaysian Malaysia yang sering diutarakan oleh Umno. Maka pada pusingan awal ini, gabungan PH-BN berada di pihak defensif yang bakal menjadi lebih buruk sekiranya kemuraman ekonomi negara turut bertambah lebih buruk.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -