Noh Omar akan buat kejutan malam ini

Tan Sri Noh Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap menghalang program himpunan Jelajah Selangor Baharu anjuran Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya berlangsung di Tanjung Karang, malam tadi.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir mendakwa sekatan dibuat PKR Selangor apabila tidak membenarkan program diadakan di sebuah padang awam.

“Itu lokasi yang kami anggap paling sesuai, selamat dan selesa untuk pengundi PN berhimpun secara aman,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Selangor, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar, Setiausaha Majlis Pimpinan Bersatu Selangor, Dato’ Azman Yaakob dan Setiausaha Gerakan Negeri, Chai Ko Thing.

Roslan menjelaskan semasa menyerahkan permohonan bagi menggunakan padang kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tiada tempahan dibuat oleh mana-mana pihak.

“Malangnya pada 31 Mei lalu, kami menerima surat daripada MPKS maklumkan bahawa permohonan kami tidak dapat dipertimbangkan kerana ia merupakan padang awam dan kegunaannya adalah untuk riadah saja,” katanya.

Roslan bagaimanapun berkata, PN berpendapat kemudahan padang awam masih boleh diluluskan untuk program lain yang bersesuaian.

“Kami kesal dengan penolakan tersebut kerana ia menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman di kawasan Parlimen yang kami wakili,” katanya.

Bagaimanapun Roslan berkata PN tidak bercadang untuk mencabar keputusan dibuat MPKS dan menghormati pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Justeru, program himpunan dipindahkan ke Komplek PAS Tanjung Karang (KOMPAS) yang terletak di Jalan Jepun, kira-kira lima kilometer dari Padang Astaka.

Sementara itu, Roslan memberitahu bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar akan membuat pengumuman penting dan sensasi pada program PN malam ini.

“Sama ada dia akan bertanding atau tidak, datanglah beramai-ramai malam ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2023

- Advertisement -