15 tahun ‘penjajahan’, DAP mencemaskan rakyat

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Pemerintahan DAP selama 15 tahun di Pulau Pinang bukannya membawa politik kepimpinan, tetapi penjajahan ke atas negeri di mana berlaku banyak perkara mencemaskan ke atas rakyat.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff mengaitkan keadaan pemerintahan sedemikian dengan peringatan telah diberikan Allah SWT di dalam al-Quran dari kisah Nabi Sulaiman A.S dan Ratu Balqis.

Jelas beliau, pemerintahan penjajahan dibawa oleh DAP hakikatnya memusnahkan negeri dan menyebabkan rakyat yang mulia menjadi hina di sebalik pembangunan diadakan oleh mereka.

Menurutnya, Kerajaan DAP itu beria-ia untuk mengadakan projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang didakwa dapat memberi kebaikan kepada rakyat, namun hakikatnya menzalimi penduduk.

“Kononnyalah, PSR itu tujuannya untuk ekonomi negeri. Sebenarnya mereka ni kelentong kita, PSR itulah untuk membiayai atau mendanai projek PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang),” ujar beliau.

Ustaz Fauzi berkata demikian ketika berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang yang juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kubang Semang, di sini malam tadi.

Kupas beliau, PTMP yang pada asalnya diperlukan kos RM6 bilion, namun dengan rancangan PSR telah meningkat kepada RM40 bilion dan selepas itu meningkat lagi kepada RM53 bilion.

Bidasnya, ternyata PSR tersebut adalah pembohongan kepada rakyat di mana ia menyebabkan kemusnahan kepada alam sekitar khususnya laut, sekali gus mengakibatkan masalah kepada lebih 2,000 nelayan di selatan pulau itu.

Kata beliau, itu tidak termasuk ke atas nelayan di Utara Perak dan Selatan Kedah yang akan turut terkesan dengan projek tersebut, selain kehidupan laut juga boleh pupus akibat dari pembangunan dijalankan.

Menurut beliau lagi, jika benar projek dijalankan itu untuk kepentingan rakyat, maka PTMP yang sepatutnya diberi tumpuan iaitu dengan tujuan asal menyelesaikan masalah kesesakan di hadapi di dalam pulau.

Terangnya, masalah kesesakan tersebut bukan sahaja teruk berlaku di dalam pulau, tetapi melibatkan aliran trafik sehingga di Batu Kawan dan Sungai Dua, tetapi ia gagal menjadi fokus Kerajaan DAP.

“Inilah yang menjadikan utama atau fokus perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tapi depa (mereka) fokus yang lain. Depa fokus nak tambak laut (PSR). Depa bukan nak buat yang memberi faedah ataupun yang menghilangkan kesengsaraan rakyat.

“Sebaliknya mereka mahu membina rojek-projek yang mendatangkan keuntungan kepada mereka dan kroni mereka,” bidas beliau yang turut menarik hadirin dengan beberapa isu di negeri itu.

Kesali beliau, banyak isu-isu yang berlaku di bawah pemerintahan DAP di Pulau Pinang bersifat memberi ancaman kepada rakyat di mana antara lain adalah isu asrama pekerja warga asing dan bekalan air. Rakyat Pulau Pinang terpaksa bergantung 80 peratus kepada Sungai Muda.

“Itu perlu kita ketahui sebagai perkara-perkara yang boleh mendatangkan risiko kepada rakyat kalau sekiranya kerajaan tidak fokus kepada isu bekalan air mentah,” ujarnya memberi peringatan. – HARAKAHDAILY 4/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -