Benzema ragui masa depan di Real Madrid

Karim Benzema ketika menerima Anugerah Legenda Marca di Madrid. - REUTERS
- Advertisement -

Karim Benzema enggan bercakap mengenai masa depannya di Real Madrid, mencetuskan spekulasi dia bakal berpindah ke Arab Saudi selepas 14 tahun yang penuh dengan piala kejuaraan.

- Advertisement -

Selepas penyerang berusia 35 tahun itu menerima Anugerah Legenda Marca pada majlis anjuran penerbitan sukan Sepanyol, Benzema ditanya sama ada dia akan kekal di Real Madrid.

“Sabtu ini, saya ada perlawanan (menentang Athletic Bilbao), esok saya ada sesi latihan… jadi pada masa ini saya berada di Madrid,” kata Benzema.

Penyerang itu kemudian ditanya sama ada dia bercadang untuk memberitahu peminat Real mengenai masa depannya dan berkata: “Mengapa saya perlu bercakap tentang masa depan? Saya di Real Madrid. Realitinya berbeza, bukan apa yang dikatakan di internet.”

Pemenang Ballon d’Or itu kelihatan bersedia untuk menetap di Madrid selama setahun lagi selepas musim yang dia bergelut dengan kecederaan dan terlepas menyertai skuad Piala Dunia Perancis di Qatar.

Bagaimanapun menurut laporan media yang meluas, Benzema ditawarkan perjanjian bernilai lebih daripada 100 juta Euro (AS$110.08 juta) oleh Al Ittihad dari Arab Saudi.

Bekas rakan sepasukannya di Real, Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak 2.5 tahun, dianggarkan oleh media bernilai lebih daripada 200 juta Euro dengan Al Nassr pada Disember tahun lalu. – REUTERS

- Advertisement -