Selesai masalah bekalan air selaras semangat Persekutuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan berharap mesyuarat membincangkan masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah dapat menyelesaikan masalah di kedua-dua negeri dengan segera.

- Advertisement -

Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub turut menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nazran Muhammad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Nor.

Selain itu, Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Mohamad Nazwan Ismail.

“Mesyuarat tersebut diharap dapat menghasilkan natijah yang baik buat negeri Kelantan, khususnya berkaitan bekalan air selaras dengan semangat Persekutuan,” kata Menteri Besar di laman media sosialnya.

Mesyuarat tersebut yang berlangsung selama dua jam bertujuan untuk membincangkan cadangan penyelesaian isu bekalan air di kedua-dua negeri.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilapor akan mengundang Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.

Menurutnya, kerajaan komited mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut setelah mendapat tahu permasalahan daripada pemimpin negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 1/6/2023

- Advertisement -