Fakta sokong hujah Kedah miliki Pulau Pinang

- Advertisement -

Isu Pulau Pinang milik Kedah bukan perkara baharu, malah disebut dan ditulis sebelum ini oleh sejarawan dan pengkaji sejarah.

- Advertisement -

Mungkin sebelum ini, perkara ini tidak dibangkitkan secara lebih holistik oleh pemimpin Kedah, maka isu berkenaan sepi dan hanya menjadi lipatan sejarah bahan rujukan generasi baharu.

Insiden pemilikan Pulau Pinang meletup apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyebutnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada awal pentadbirannya dahulu.

Sebenarnya, kenyataan yang disuarakan oleh Menteri Besar bukanlah ‘omongan politik’ atau sengaja dilakukan berikutan keengganan negeri pentadbiran DAP itu membayar caj air mentah seperti yang dituntut Kedah, tetapi lebih kepada sejarah yang mesti diketahui umum.

Perkara ini pernah dilaporkan oleh sebuah media tempatan sebelum ini dengan merujuk kepada sejarawan yang secara tidak langsung mengukuhkan kenyataan pemimpin kerajaan negeri Jelapang Padi itu.

Menurut Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, dokumen dikatakan perjanjian antara Kedah dan Pulau Pinang yang dipamer kepada umum didakwa bukan bukti surat pajakan yang ditandatangani bersama Sultan Abdullah dan Francis Light pada 1786.

Menurutnya, dokumen itu adalah sekadar cebisan surat membincangkan hal berkaitan pajakan Pulau Pinang sahaja.

Beliau menjelaskan Sultan Abdullah dan Francis Light tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian atau surat pajakan berkaitan penyerahan Pulau Pinang daripada Kedah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu.

Malah hal berkenaan sudah dijelaskan 50 tahun lalu oleh sejarawan, R Bonney dalam bukunya, ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’ yang antara intipatinya memaklumkan tidak ada perjanjian pajakan melibatkan kedua-dua negeri itu.

Namun,masyarakat secara umum masih menggunakan naratif kolonial bahawa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah.

Dokumen perjanjian yang dipamerkan selama ini adalah tidak betul kerana itu sekadar perbincangan antara Sultan Kedah dan Francis Light sahaja dan tiada perjanjian pajakan sah dibuat antara kedua-duanya.

Dr Ahmad Murad menjelaskan dokumen yang dikatakan perjanjian pajakan daripada Kedah dipamerkan di Muzium Pulau Pinang selain disimpan Arkib Negara sebagai warisan negara.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar, dalam kenyataannya sebelum ini pernah mendesak kerajaan negeri mengadakan perbincangan serius bersama kerajaan Persekutuan bagi mencapai persefahaman baharu termasuk mengambil kira kadar bayaran tahunan kepada Kedah.

Naratif sejarah berkaitan Pulau Pinang perlu diperbetulkan supaya semua pihak memahami kedudukan sebenar hubungan Kedah dan Pulau Pinang yang banyak dipesongkan.

Beliau juga menegaskan berpandukan hujah pada buku ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’, tidak ada satu perjanjian sah antara Kedah dan mana-mana pihak berhubung pendudukan Pulau Pinang.

Justeru, kenyataan Menteri Besar Kedah bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah yang sah sehingga kini disokong berdasar fakta-fakta yang terkandung dalam buku-buku dan penulisan berkenaan.

Ketika sidang Dewan Rakyat pada awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH), perkara ini menjadi tajuk ‘panas’ antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang khususnya dari Kedah.

Walaupun secara umumnya pemimpin PH terutama di Pulau Pinang sedaya upaya menangkis berkenaan kedaulatan Pulau Pinang milik Kedah namun hakikat, kebenaran serta fakta sejarah tidak boleh diubah.

Sama ada pemimpin kerajaan mahu pun pembangkang wajar merujuk kepada fakta sebenar agar kekeliruan yang dibina sebelum ini dapat diperbetulkan.

Maka kenyataan bertalu-talu oleh Muhammad Sanusi berkenaan hal itu tidak boleh dianggap provokasi atau mengganggu kedaulatan Pulau Pinang sebaliknya semua pemimpin negara perlu duduk semeja membincangkan untuk mencari jalan tuntas menyelesaikannya.

Semoga hasrat dan cita-cita Kedah untuk bertaut semula dengan negeri miliknya (Pulau Pinang) menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 1/6/2023

- Advertisement -