Sikap pejuang Islam terhadap mereka yang memusuhi

- Advertisement -

DARIPADA Abdullah ibn Masu’ud RA telah berkata, aku seolah-olah masih melihat Rasulullah SAW sedang menceritakan kisah seorang Nabi dari para Nabi yang telah dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah.

- Advertisement -

Dia menyapu darah di wajahnya seraya berkata:

‎رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Wahai Tuhanku, Ampunilah kaumku maka sesungguhnya mereka tidak mengetahui. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kefahaman hadis

Melangkah kaki menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang memperjuang dan mempertahankan agamanya sangat sulit dan mencabar. Saban hari dan waktu dia akan dihadapkan kata nista, tohmahan dan tekanan yang pelbagai.

Namun keperibadian seorang pejuang yang hebat bukan sahaja tidak mengalah dan tidak takut pada celaan orang yang mencela, malah dia tidak bertindak balas dengan tindakan buruk dan jelek sebagaimana dirinya diperlakukan.

Justeru inilah yang diajar oleh Allah SWT.

‎وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

“Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berbuat demikian, maka orang yang punya permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (Fussilat: 34)

Al Maraghi menyebut di dalam tafsirnya: Balaslah keburukan mereka dengan kebaikan, hadapilah kekasaran mereka dengan kemaafan dan hadapilah kemarahan mereka dengan kesabaran. Sesungguhnya jika kamu bersabar dan memperlakukan mereka seperti itu pasti mereka akan malu sendiri sehingga mereka akan berhenti melakukannya. (Tafsir al-Maraghi, 12/6073)

Memang tidak mudah untuk memaafkan kekasaran orang yang memusuhi kita. Begitu juga sukar untuk kita bersabar atas segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Islam dan para pejuangnya.

Namun itulah asuhan Islam yang begitu tinggi nilai akhlaknya. Tidak hanya sesama muslim dan saudara mara bahkan terhadap mereka yang memusuhi Islam dan para pejuangnya, Islam mempunyai akhlaknya yang sangat unik, hebat dan mulia untuk dipraktiskan.

Lihat sahaja para Nabi AS. Malah apa yang Nabi SAW ceritakan dalam hadis di atas, bukan sahaja mengenai Nabi-Nabi terdahulu, tetapi juga dialami oleh Nabi SAW sendiri dalam peperangan Uhud.

Saat mengalami kecederaan yang parah sebegitu, insan bergelar Nabi ini mendoakan agar Allah SWT ampunkan kaumnya yang telah bertindak keras dan kasar ke atas dirinya. Lihat betapa sabar insan yang diutuskan oleh Allah agar kita mencontohinya.

Pejuang tidak hanya memikirkan tentang dirinya (yang kesakitan dan kepedihan diperlaku oleh pihak yang memusuhinya) tetapi dia mendahulukan masa depan Islam yang diperjuangkan agar diterima oleh semua termasuk mereka yang memusuhinya pada hari ini.

Lebih menarik dan hebat, para pejuang Islam tidak pernah memandang mereka yang memusuhinya itu sebagai musuh, sebaliknya senantiasa berdoa agar mereka menerima Islam dan perjuangannya pada suatu masa kelak. Justeru inilah matlamat perjuangan dan dakwah Islam.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
11 Zul Qaedah 1444 / 31 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 31/5/2023

- Advertisement -