Pemimpin adil membetulkan yang bengkok

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 75)

APABILA Umar bin Abdul Aziz menjadi pemerintah orang Islam, beliau menulis surat kepada Al-Hasan al-Basri supaya memberitahunya sifat-sifat pemimpin yang adil. Al-Hasan al-Basri menulis ciri-cirinya dengan agak panjang, sekitar 17 perenggan. Antara kandungan awalnya:

اعلم يا أمير المؤمنين، أن الله جعل الإمام العادل قوام كل مائل، وقصد كل جائر، وصلاح كل فاسد، وقوة كل ضعيف، ونصفت كل مظلوم، ومفزع كل ملهوف

Maksudnya: Ketahuilah wahai Amir al-Mukminin! Allah Taala menjadikan pemimpin yang adil itu membetulkan bagi setiap yang bengkok, melakukan keadilan bagi setiap yang zalim, membaiki bagi setiap yang rosak, menguatkan bagi orang yang lemah, pembantu bagi orang yang dizalimi, tempat tumpuan bagi orang yang tiada harta.

- Advertisement -

Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang alim, zuhud dan adil. Dalam keadaan demikian pun, beliau tetap meminta nasihat dari Al-Hasan al-Basri. Sepatutnya pemerintah di zaman kita ini yang tidak sangat alim, tidak zuhud dan kurang berlaku adil lebih lagi meminta nasihat daripada para alim ulama agar urusan pemerintahan dan pentadbiran dapat berjalan menurut perintah Allah.

Dalam kehidupan, perkara yang bengkok itu banyak berlaku di pelbagai sektor, lapangan dan sudut. Yang bengkok itu mesti diluruskan dan ditegakkan. Pemerintah tertinggi sangat-sangat diharap oleh rakyat agar membetulkan yang bengkok itu.

Bengkok boleh berlaku dalam agensi kerajaan, swasta. Bengkok dari sudut kewangan, agihan wang, pentadbiran, pemberian projek dan seribu satu macam bentuk ‘pembengkokan’.

Jika tiada keinginan politik, kesungguhan dalam membetulkan yang bengkok itu, maka ramai yang akan dizalimi dan menjadi mangsa. Benar sekali nasihat Al-Hasan al-Basri ini.

Adil bererti letak sesuatu kena pada tempatnya. Lawannya zalim. Apabila keadilan ditegakkan, rakyat akan  berpuashati. Apabila kezaliman yang berleluasa, rakyat akan berputus-asa dari pemerintah. Lalu siapa lagi yang boleh diharap untuk mengembalikan hak mereka?

Perkara yang rosak dalam pemerintahan boleh berlaku juga di pelbagai sektor. Pihak yang membaiki itu janganlah pula menjadi seperti tikus membaiki labu. Jika tidak, ia akan menjadi lebih parah. Yang rosak itu, ada yang sedikit rosaknya, maka mudah untuk dibaiki. Ada yang banyak rosaknya. Maka ia mengambil masa yang panjang untuk membaikinya.

Dalam sebuah negara, ada pihak yang kuat dan ada pihak yang lemah. Di zaman jahiliah, pihak yang kuat menindas yang lemah. Islam mengajar supaya orang yang kuat menggunakan kekuatannya membantu orang yang lemah. Nabi SAW, Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali, semuanya menggunakan kekuatan diri dan kekuatan kekuasaan membantu golongan yang lemah. Itulah juga yang dibuat oleh Umar bin Abdul Aziz, sama ada dinasihati oleh Al-Hasan al-Basri ataupun tidak.

Sekali lagi Al-Hasan al-Basri menyebut tentang pentingnya membantu orang yang dizalimi, kerana kezaliman boleh sahaja berlaku sepanjang masa.

الظلم ظلمات يوم القيامة

Kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.

Mereka yang fakir dan miskin juga berada sepanjang masa. Namun, dengan keadilan yang ditunjuk oleh Umar bin Abdul Aziz dalam pemerintahannya, negara menjadi makmur, sehingga sukar mencari fakir miskin.

Nasihat Al-Hasan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz baru dikupas satu perenggan. Ia padat dengan nasihat yang berguna buat semua pemerintah, pemimpin di pelbagai sektor. Beramallah setakat mampu. – HARAKAHDAILY 31/5/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -