Jelajah Selangor Baharu di Tanjong Karang

- Advertisement -

PAS Selangor akan menganjurkan ceramah perdana ‘Jelajah Selangor Baharu’ bertempat di Padang Astaka, Tanjong Karang pada hari Ahad 4 Jun 2023 ini bermula jam 8:30 malam.

Ceramah atas nama PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor ini akan merupakan ceramah pertama dalam siri-siri ceramah seluruh Selangor menjelang pembubaran Dewan Negeri Selangor dan akan membawa mesej ‘Selangor Baharu’, iaitu mencetuskan gelombang perubahan rakyat Selangor ke arah menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan-BN Selangor dan membina sebuah kerajaan negeri baru bawah PN yang bersih dan stabil.

Sesungguhnya himpunan ini menepati tuntutan sebuah negara demokrasi yang menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

PAS Selangor mengharapkan pihak kerajaan negeri memberikan kerjasama dan tidak bertindak menyekat hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Jajaran Parlimen Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam kini dikuasai PN apabila calon-calonnya atas sokongan rakyat khasnya anak-anak muda telah menumbangkan calon-calon Umno dan PH dalam Pilihan Raya Parlimen baru-baru ini. Lantas mereka berhak berhimpun secara aman untuk mendengar penerangan dan penjelasan dari pimpinan mereka.

Antara pimpinan PN yang akan memberi penerangan nanti adalah YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengarah Pilihan Raya PN Pusat, Datuk Seri Azmin Ali, Pengerusi PN Selangor, YB Dato Dr Ahmad Yunus Hari, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Datuk Rashid Ashaari, Pengerusi BERSATU Negeri Selangor dan beberapa pimpinan lain.

Semoga Selangor kekal menghormati hak dan kebebasan rakyat.

PAS Selangor menyeru rakyat agar turun beramai-ramai Ahad ini.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS 
Negeri Selangor
Rabu
31 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 31/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -