Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (12)

- Advertisement -

BENTENG akan runtuh jua

- Advertisement -

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِى بَعْضٍ وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَجَمَعْنَٰهُمْ جَمْعًا

“Kami biarkan mereka (Yakjuj dan Makjuj) di hari itu bercampur-aduk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup lagi sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya. (99)”

Setakat ini tiada lagi kajian yang dapat menentukan lokasi sebenar benteng yang besar itu. Ia akan runtuh dengan sendirinya apabila tiba masanya nanti. Sebab setiap benda ada tempoh masanya. Sebagai contoh, plastik lama-kelamaan akan menjadi keras, pecah dan retak serta besi lama-kelamaan akan berkarat dan reput. 

Apabila puak Yakjuj dan Makjuj keluar melakukan huru-hara di dunia seperti membunuh, akhirnya mereka akan dimusnahkan oleh Allah S.W.T. Allah menghantar ulat yang memasuki telinga mereka [1]. Mereka hancur dengan izin-Nya. Kemudian akan berlaku kiamat. 

Lokasi di mana itu tidak penting. Sebab menurut ulamak, yang lebih penting adalah ceritanya. Kita meyakini kebenaran kisah-kisah dalam al-Quran walaupun bukti belum ditemui. Masa sahaja yang akan menentukan di mana. 

Azab Neraka ditunjukkan buat orang kafir

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِّلْكَٰفِرِينَ عَرْضًا

“Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam pada hari itu kepada orang kafir dengan jelas. (100)”

Gambaran mengenai neraka ditunjukkan kepada orang-orang kafir sahaja. Orang-orang beriman tidak melihatnya. Allah menunjukkan hal sedemikian bagi menimbulkan ketakutan dan penyesalan kepada mereka yang menolak ajaran Nabi dan Rasul. 

ٱلَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِى غِطَآءٍ عَن ذِكْرِى وَكَانُوا۟ لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا

“Iaitu orang yang matanya dalam keadaan tertutup daripada memperhatikan tanda-tanda kebesaranKu dan adalah mereka tidak dapat mendengar. (101)”

Orang-orang kafir ini walaupun celik matanya namun mereka tidak dapat melihat kebenaran. Sebagai contoh, antara mukjizat Nabi Muhammad S.A.W ialah al-Quran, bulan terbelah dua (dapat dilihat di Semenanjung Tanah Arab bahkan di luarnya juga), air keluar melalui jari dan pokok tamar boleh bercakap. 

Namun begitu, mereka ‘tengok saja’. Begitu juga dengan kita, apabila sakit, susah, kemalangan dan seumpamanya, kita tetap tidak mahu menjadi lebih baik kemudiannya. Orang-orang kafir pun begitu; mereka tidak buta cuma fikiran dan jiwa mereka tidak terbuka untuk melihatnya. 

Mereka bukan sahaja dapat melihat gambaran neraka, bahkan bunyi air yang mendidih. Contoh Tangkuban Parahu di Bandung, bauan air yang mendidih boleh memeningkan kita. maka, demikianlah azab neraka yang ditunjukkan kepada orang-orang yang tidak beriman. 

Kehebatan jin disalahgunakan oleh manusia 

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَن يَتَّخِذُوا۟ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا

“Maka apakah orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil hamba-hambaKu menjadi penolong selain Aku? Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka Jahannam tempat tinggal bagi orang kafir. (102)”

Orang-orang yang tidak percaya kepada Tuhan; mereka menganggap malaikat adalah Tuhan. Nabi Isa pula dianggap sebagai anak Tuhan. Mereka juga menyembah jin-jin. 

Jin boleh bergerak dengan sangat laju dari Timur ke Barat. Ia juga boleh naik ke langit serta mengetahui arahan-arahan yang diberikan kepada malaikat dan apa yang akan berlaku. 

Namun apabila turunnya Ayat Kursi, beribu-ribu malaikat mengiringinya [2]. Setelah ia diturunkan ke langit dunia, diturunkan pula kepada Nabi (wahyu) melalui malaikat Jibril, langit atas sudah pun ditutup dan Jin tidak boleh naik lagi [3].

Ada sesetengah bomoh berkawan dengan Jin dalam mendapatkan sesuatu maklumat. Kadang-kadang mendengar hasutan jin sehingga melakukan hal-hal yang dilarang dalam Islam seperti mencabul atau merogol pesakit. 

Jadi, jauhilah sikap yang hanya melihat pada kehebatan seseorang dan mencari sesuatu yang pelik. Walaupun ada ulamak yang hebat-hebat, namun mereka tetap akan mengatakan bahawa jin jauh lebih hebat daripada mereka seperti berjalan di atas air dan terbang. 

Apabila berlaku kiamat, semuanya seperti jin tiada kuasa. Sebab semua berada di bawah kekuasaan-Nya. Kelebihan yang diperoleh di dunia antaranya adalah sebagai ujian. Ulamak berpesan supaya kita jangan ‘mabuk’ dengan kelebihan itu kerana ia akan menguji kita. 

Antara Khawariqul ‘Adah (perkara yang berada di luar adat) ialah:

(1) Mukjizat.

Diberikan kepada Nabi dan Rasul. Sebagai contoh, api yang tidak memakan tubuh Nabi Ibrahim dan pisau yang tidak melukai Nabi Ismail.

(2) Karamah (Kemuliaan).

Diberikan kepada orang-orang soleh atau wali-wali Allah. Sebagai contoh, Sunan Bonang suka berjalan di tepi laut. Pada suatu hari, seorang pendeta Hindu yang masyhur di Tibet ingin menemuinya bagi tujuan mencabarnya. 

Pendeta itu datang menaiki kapal dan membawa bermacam-macam kitab untuk mencabarnya. Pendeta ada mendengar cerita bahawa dia seorang yang hebat, ilmunya hebat, anak muridnya ramai dan ramai orang memeluk Islam kerananya. 

Sebelum tiba, dengan takdir-Nya ribut besar datang dan menenggelamkan kapal dan semua penumpang kecuali pendeta itu. Pendeta selamat dan hanyut ke pantai. Kebetulan pendeta berjumpa dengan Sunan dan mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. 

Sunan membantu pendeta itu dan bertanya mengenai kedatangannya. Setelah mendengar cerita pendeta, Sunan menghempaskan tongkatnya ke atas pasir dan kemudian keluar air (membentuk telaga) yang menimbulkan kitab-kitab pendeta. Kejadian itu membatalkan hajat pendeta untuk berdebat dengan Sunan, malah menyebabkan pendeta memeluk Islam [4]. 

(3) Ma’unah (Pertolongan Allah).

Diberikan kepada orang-orang yang beriman. Sebagai contoh kemalangan; kereta habis remuk namun tuan kereta selamat. 

(4) Sihir.

Berlaku kepada orang-orang kafir dan orang-orang jahat. Sebagai contoh, ahli sihir Firaun yang boleh mencipta ular dengan menggunakan tali. 

(5) Istidraj.

Orang-orang jahat yang berlaku kejadian yang aneh terhadapnya. Sebagai contoh, orang yang mengamalkan ajaran sesat. Kehebatan yang diberikan sebenarnya merupakan suatu penghinaan daripada Allah supaya orang itu ‘hanyut’. 

(6) Ihanah (Penghinaan Allah).

Nak buat sesuatu yang pelik namun ia tidak berlaku. Sebagai contoh, nak keluarkan seekor burung daripada topi tetapi yang keluarnya adalah seekor ular. 

Oleh itu, janganlah kita mudah terpesona dengan perkara-perkara yang pelik dan hebat. Lihatlah orangnya terlebih dahulu sama ada betul atau tidak akidahnya. Solat dan ibadahnya bagaimana. 

Rugilah orang yang ingkar terhadap agama

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِٱلْأَخْسَرِينَ أَعْمَٰلًا

“Katakanlah (Muhammad): “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling rugi perbuatannya?” (103)”

ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. (104)”

Orang sesat merasakan apa-apa yang dibuatnya adalah betul belaka. 

أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمْ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتْ أَعْمَٰلُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وَزْنًا

“Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya terhadap) perjumpaan denganNya, maka sia-sialah amalan mereka dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat. (105)”

Apabila kita tidak mengikut ajaran agama, walaupun kita memperoleh kelebihan, maka dikhuatiri kita akan berada dalam kesesatan. Oleh itu, kita mestilah mengikut al-Quran dan sunnah ketika beramal. Syarat amal diterima adalah ikhlas dan mengikut ajaran Nabi. 

ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا۟ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَٰتِى وَرُسُلِى هُزُوًا

“Demikianlah, balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka memperolok-olokkan ayat-ayatKu dan juga Rasul-rasulKu. (106)”

Sesetengah daripada kita ada yang suka mengejek orang-orang yang selalu membaca ayat-ayat al-Quran mahupun Hadis. Tindakan ini boleh menjejaskan kepercayaan seseorang terhadap agama bahkan menghina dan menolak ajaran Islam. 

Mudahnya nak masuk syurga! (I)

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّٰتُ ٱلْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal. (107)”

خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا

“Mereka kekal di dalamnya, dan tidak ingin berpindah darinya. (108)”

Syarat untuk memasuki syurga adalah beriman dan melakukan amal soleh. Iman hendaklah suci dan bersih. Amal yang wajib antaranya solat fardhu lima waktu, puasa, zakat sekurang-kurangnya zakat fitrah jangan ditinggalkan. Kemampuan bagi menunaikan ibadah haji adalah kemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keamanan. 

Jika tiada amal soleh tetapi ada iman, kita akan dimasukkan ke dalam neraka terlebih dahulu kemudian akan dimasukkan ke dalam syurga. Nabi ada menyebut sekiranya kita sentiasa membaca Ayat Kursi selepas solat, tidak ada yang dapat menghalang kita daripada memasuki syurga kecuali mati. 

Luasnya ilmu Allah tidak terhingga

قُل لَّوْ كَانَ ٱلْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَٰتِ رَبِّى لَنَفِدَ ٱلْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَٰتُ رَبِّى وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِۦ مَدَدًا

“Katakanlah (Muhammad): “Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (109)”

Ilmu Allah umpama air laut yang dijadikan sebagai dakwat. Walaupun seluruh air laut menjadi kering, ilmu-Nya masih belum habis sampai bila-bila. Jadi, tidak usahlah berlagak jika kita mempunyai ilmu sehingga tahap Philosophiae Doctor (PhD) sekalipun. 

Nabi Musa berbicara dengan Allah. Ilmu-Nya yang ada padanya umpama air yang tinggal di dalam tangannya selepas mencebok air itu. Itulah perbandingan yang menunjukkan bahawa ilmu-Nya sangat luas. 

Mudahnya nak masuk syurga! (II)

قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَٰلِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا

“Katakanlah (Muhammad): “Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: “Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa.” Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (110)”

Rasulullah S.A.W merupakan manusia biasa seperti kita cuma kelebihannya ialah Nabi. Baginda makan, sakit, sejuk dan panas seperti kita. Sebab ada yang mempertikai bagaimana mahu menuruti Nabi. 

Sedangkan apa yang Nabi lakukan, kita juga boleh melakukannya. Oleh sebab itu, Allah tidak menghantar malaikat untuk menjadi Nabi. Kita tidak boleh menjadi Nabi sebab Nabi adalah pilihan Allah S.W.T. 

Sesiapa yang mahu bertemu dengan Allah atau memasuki syurga, buatlah amal soleh dan tidak mensyirikkan-Nya (iman yang benar). Ada sesetengah ulamak beramal dengan ayat 107 hingga 110 sebelum tidur agar terjaga daripada tidur dengan lebih mudah. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 29 Mei 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 29/5/2023

Rujukan:

[1] Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. Hadis 4079.
[2] AL-Burhan fi Ulum al-Qur’an, m/s 287.
[3] Hal ini disebut dalam Surah al-Jin, ayat ke 8-9.
[4] Rujuk: Sunan Bonang Wali Keramat: Karamah, Kesaktian, dan Ajaran-ajaran hidup Sang Waliullah karya Asti Musman.

- Advertisement -