Lim Kit Siang tekan ‘panic button’

Tanda PH-BN bakal terkubur dalam PRN

- Advertisement -

PEMIMPIN Veteran DAP Lim Kit Siang pada 15 Mei 2023 telah mencadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menghulurkan salam kerjasama kepada PAS.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) jawab dengan jelas PAS sedia jumpa sesiapa sahaja termasuk Anwar Ibrahim. 

Namun Tan Sri TGHH menegaskan keterbukaannya itu mestilah tidak lari dari prinsip, matlamat dan perjuangan PAS. Tan Sri TGHH turut mengesahkan dihubungi beberapa kali dengan tawaran bersama Kerajaan Perpaduan. 

Melihat saranan ini datang daripada manusia yang menganggap PAS sebagai musuh ketat dan sentiasa menjadikan PAS sebagai modal politik, kita perlu ‘Read between the lines’ kenapa tawaran ini dilontarkan. 

Pertamanya, tawaran ini adalah bukti Kerajaan Campuran PH-BN sudah mengesan bakal kehilangan sokongan Melayu Islam secara total dalam PRN. Maka panic button ditekan dan Lim Kit Siang dihantar untuk selamatkan keadaan. Bayangkan PH kehilangan 4 atau 5 negeri dalam PRN termasuk Selangor. Bukankah itu mimpi ngeri pimpinan PH?

Sekiranya dilihat pada PRU15, PKR hanya memiliki 30 kerusi dan hanya 19 kerusi Melayu. Ini menjadikan Kerajaan PH-BN adalah kerajaan majoriti bukan-Islam. 

Pada PRU15 PH dan BN juga mencatatkan kehilangan sokongan pengundi Melayu. Ini merupakan keputusan walaupun Zahid Hamidi berhempas pulas menafikan hubungan sulit dengan Anwar Ibrahim (yang kemudian dikantoikan oleh Saifudin Nasution).

Pada PRN kali ini, Umno akan secara rasmi bertanding sebagai satu koalisi dengan PKR dan DAP. Ini sudah tentu akan menyebabkan sokongan Melayu terus terhakis dari PH-BN dan PN akan mendapat manfaat besar swing undi Melayu ini. 

Terdapat kajian yang menjangkakan Umno akan kalah semua kerusi dan hilang deposit di kebanyakan kerusi ditandingi. PH pula akan hanya ‘survive‘ dengan kerusi Cina.

Pada PRU15 PN mendapat 69 peratus undi Melayu meningkat dari 32 peratus pada PRU14. BERSATU juga meningkat dari 20 peratus pada PRU14 ke 48 peratus pada PRU15. Ini menyebabkan PAS menjadi parti dengan kerusi terbesar dalam Parlimen. 

PRU16 dijangkakan sokongan Melayu akan swing secara total dan dijangkakan mencapai sehingga 70 peratus – 80 peratus kepada PN. Faktor penolakan kepada Umno oleh penyokong dan pengundinya sendiri, faktor kebencian kepada DAP, serta faktor ketiga adalah peralihan sokongan pengundi atas pagar kepada PN. Perlu diingat peralihan ini telahpun berlaku pada PRU15 dan dijangka akan berterusan dalam PRN nanti.  

PH juga berhadapan dengan protes dari pengundi Cina dan India kerana bersama dengan Umno dalam kerajaan. Protes ini akan memberikan keuntungan kepada PN.

Malah terdapat bantahan dari pengundi bukan-Melayu yang tidak mahu mengundi Umno dalam PRN nanti. Mereka rela tidak mengundi. 

Perkara ini turut disahkan oleh Ibrahim Suffian Merdeka Center yang menjangkakan akan ada trend swing undi dari PH-BN ke PN di Negeri Selangor. 

Maka atas sebab di atas, jelaslah kenapa Lim Kit Siang mewakili PH yang sudah menekan panic button dan sanggup menjilat ludah lama bagi mengekalkan kuasa mereka. Tahniah Tan Sri DS TGHH atas ketegasan dalam melayan tawaran dari PH-BN ini.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/5/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/650875906/posts/pfbid0R9ZTga9uAzyJWqvrEZVgUfdvrdJbUXaED3R96XgsxHQ4mSdrmBaRf2SNZuea4Vnal/?mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -