RUU Dana Politik perlu diangkat semula

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Dana Politik perlu diangkat semula untuk kelulusan dasar baharu oleh Jemaah Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.

- Advertisement -

Menurutnya, susulan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15, landskap politik di Malaysia turut mengalami beberapa perubahan di mana terdapat gabungan politik yang baru.

Oleh yang demikian, ujarnya sesi libat urus perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas parti-parti politik dan pihak berkepentingan, agar RUU yang bakal digubal itu adalah inklusif dan komprehensif.

“Dalam hal ini, RUU Dana Politik akan dicadang untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) supaya semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh memberi pandangan dan cadangan supaya semua aspek yang penting berkenaan dana politik ini diambil kira,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan relevansi mengadakan sekali lagi sesi libat urus pembentangan RUU Dana Politik selepas sesi yang sama telah diadakan pada September tahun lalu.

Azalina berkata, selain daripada RUU Dana Politik, kerajaan juga akan mengambil kira amalan dan perundangan yang sedia ada untuk mengatasi isu dana politik, antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram 2001 [Akta 613]. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -