Kumpulan FGV rekod untung selepas cukai pada 2022

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun harga saham FGV telah merudum berbanding harga penyenaraian awam pada harga RM4.55 sesaham, pelbagai usaha telah dan sedang diambil oleh pihak pengurusan FGV dan Felda, sebagai pemegang saham utama FGV.

- Advertisement -

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, sebahagian daripada usaha-usaha itu telah berjaya meningkatkan harga saham FGV terkini yang tutup pada 17 Mei 2023 pada harga RM1.45 sesaham, berbanding RM0.68 sesaham iaitu harga saham paling rendah FGV pada 14 Disember 2018.

Katanya, peningkatan harga saham lebih 100 peratus itu telah diperolehi di dalam tempoh masa 4 hingga 5 tahun di mana keuntungan kumpulan FGV telah bertambah baik.

Tambahnya, Kumpulan FGV telah merekod keuntungan selepas cukai dan minoriti (PATAMI) sebanyak RM1.1 bilion pada tahun operasi 2022 berbanding kerugian sebanyak RM1.0 bilion pada tahun 2018.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Mohd Hasnizan meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dan langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi mengatasi masalah saham FGV yang merudum.

Azalina berkata, usaha dan langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak FGV termasuk melupuskan aset tidak berprestasi dan bukan teras berjumlah lebih RM330 juta sejak tahun 2012;

Di samping itu, ujarnya program transformasi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 melibatkan model perladangan dan kilang sawit, aktiviti penanaman semula pokok sawit, kebolehkesanan tanaman sawit dan meningkatkan kawasan mekanisasi.

Selain itu, merealisasikan inisiatif penjimatan kos yang memberi tumpuan kepada perolehan dan modal insan, pengukuhan proses dan sistem tadbir urus dan memperkembangkan bidang pertumbuhan baru melibatkan perniagaan bernilai tambah yang tinggi, khususnya produk pengguna berasaskan makanan. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -