Kalimah Allah: Lain ditanya, lain pula dijawab

- Advertisement -

BIARPUN agak panjang lebar Perdana Menteri menjawab soalan berkaitan kalimah Allah di Dewan Rakyat semalam, namun nampaknya ia agak tersasar daripada persoalan pokok.

- Advertisement -

Isunya mungkin agak ‘simple’, mengapa kerajaan tiba-tiba menarik balik rayuan kes berkaitan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan. Adakah ia dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkepentingan.

Ketika menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) Anwar Ibrahim berkata, usaha dilakukan kerajaan memperkemaskan peraturan melibatkan penggunaan kalimah Allah. Ia akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai hadapan.

Menurut perdana menteri langkah terbabit bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh.

Kata seorang peguam Nik Bahrum Nik Abdullah, isunya sekarang mengapa rayuan itu ditarik balik.

“Isunya kenapa tarik balik? Kenapa tidak ada perbincangan dengan beberapa Majlis Agama Negeri yang menjadi amicus curie dalam kes itu?

“Kenapa hanya sekadar dengan memo dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja kepada kabinet? Kenapa tidak ada pemakluman awal kepada masyarakat,” katanya.

Pada 16 Mei lepas Menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail dilapor memberitahu, KDN menarik balik rayuan itu melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran dan bukan membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Kenyataan itu agak mengelirukan. Kita tengok apa kata pakar perlembagaan. Prof Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dilapor menjelaskan walaupun keputusan penarikan rayuan itu hanya melibatkan arahan pentadbiran, tetapi implikasinya seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Lebih mendebarkan lagi apabila Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan mendedahkan Peguam Negara antara lain menyebut jawapan di Dewan Rakyat sebagai jawapan politik.

“Saya kebetulan tadi keluar dari dewan, saya berjumpa Peguam Negara. Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya dan saya tanya, “Macam mana Tan Sri?”

Ujar Peguam Negara kata Takiyuddin ‘kita dengarlah jawapan politik.’

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi yang keluar bersama saya tadi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam. (Foto atas)

Kerajaan PH-BN menarik balik rayuan itu selepas difaikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 12 Mac 2021. Rayuan itu dibuat Peguam Negara yang ada sekarang.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April 2023 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Isu akidah

Sedangkan isu yang berligar itu cukup besar. Ia melibatkan persoalan akidah orang Islam. Apabila agama lain juga dibenarkan menggunakan perkataan Allah, tentunya ruang untuk pendakwah agama lain menyebar misi mereka terbuka luas.

Perkara serupa pernah dilakukan pendakwah Kristian dari Barat ketika era kolonial. Mubaligh Kristian ketika itu mengupah orang Melayu menterjemahkan risalah Kristian.

Isu yang berlaku sekarang berpangkal pada 11 Mei 2008 apabila cakera padat berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadat Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’ dirampas daripada wanita seorang Bernama Jill Ireland ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Ekoran itu pada 16 Februari 2009 Gereja Roman Katolik memfail permohonan semakan semula kehakiman bagi mendapat pengisytiharan keputusan KDN melarang menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan bercanggah dengan undang-undang.

Maka tidak hairanlah isu tersebut meledak dengan cepat. Pengumuman KDN menarik balik rayuan kes kalimah Allah menjadi trending dengan hampir 6K respon dalam tempoh 24 jam.

Isu itu juga mendapat respon segera bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Al-Bakri. Pada hantaran di laman sosialnya beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan.

Sedangkan kata beliau rayuan permohonan tersebut merupakan titah Sultan Johor dan Sultan Selangor.

Malah data Artificial Intelligence (AI) menunjukkan 26K engagement di laman Facebook dan 6K di Twitter.

Page Dr Zulkifli Al-Bakri mendapat engagement terbanyak dengan 9K diikuti page influencer Prof Dr Rafidah Hanim 2.9K. Ciapan Dr Zulkifli Al-Bakri di Twitter juga mendapat majoriti engagement dengan 1000 retweet dan 1500 likes.

Hasil kajian mendapati hampir 90 peratus ulasan di Facebook berbentuk negatif terhadap kerajaan. Rata-rata netizen menyifatkan kerajaan sekarang telah mencalar kesucian Islam.

Perkembangan yang berlaku itu nampaknya populariti kerajaan PH-BN semakin tercalar. Menjejaki usia 6 bulan, imej kerajaan campuran dilihat semakin pudar. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -