KUALA LUMPUR: Budaya urus niaga tanpa tunai menyebabkan sesetengah golongan terjerumus dalam masalah muflis apabila berbelanja tanpa berhemah.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, budaya itu akhirnya menyebabkan rakyat, terutama anak muda lalai kerana pengeluaran wang berlaku dengan pantas.
“Kita melihat hari ini, sudah menjadi budaya di kebanyakan tempat, termasuk pasar raya dan kedai yang urus niaga adalah tanpa tunai.
“Ini menyebabkan kadang-kadang penggunaan kad kredit menjadi antara sebab ramai anak muda kita muflis kerana urus niaga berlaku terlalu cepat,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru, beliau meminta kerajaan mengemukakan garis panduan agar budaya tersebut menjadi lebih teratur.
“Saya mohon agar kerajaan dapat mengemukakan suatu etika dan amalan supaya urus niaga tanpa tunai dapat kita pastikan dibuat secara lebih teratur.
“Kadang-kadang tanpa sedar, kita boleh habis dalam RM1,000 atau RM2,000 dalam tempoh tidak sampai lima minit,” katanya.
Beliau berkata, budaya ini menjadi norma baharu dalam masyarakat , terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/5/2023