Guna pelajar sekolah laris panggung

Mohamed Firdaus Nawi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Belum pernah dalam sejarah kerajaan sebelum ini menggunakan pelajar sekolah untuk melaris panggung bagi menonton filem termasuk melibatkan genre bibliografi pemimpin.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamed Firdaus Nawi berkata, ‘Anwar, The Untold Story’ bukan satu-satunya filem yang dihasilkan melibatkan pimpinan negara.

Katanya banyak filem berteraskan bibliografi pejuang kemerdekaan dan pimpinan negara dihasilkan, namun tidak melalui cara terdesak supaya dilihat pecah panggung.

“Apa lagi dibawa masuk ke sekolah-sekolah, melibatkan doktrinisasi minda anak-anak pelajar terhadap pimpinan politik kerajaan.

“Atas tujuan apa barangkali boleh difikirkan tetapi sepintas lalu boleh dianggap ia sebagai proses cuci minda anak-anak pelajar,” katanya pada kenyataan di sini.

Filem The Untold Story mengisah jatuh bangun perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlatarkan tempoh masa antara 1993 dan 1998.

Ketika itu Anwar memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Filem berdurasi 108 minit itu ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia.

Media melaporkan pada hari pertama ditayang mencatat kutipan RM1 juta.

Mohamed Firdaus juga berkata, sekiranya benar seperti disebarkan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek perlu memastikan elemen politik kepartian tidak dilibatkan pelajar sekolah.

“Ia seolah-olah menyuburkan suatu budaya lama ‘Si tukang kebun boleh menukarkan pengetua’ atas kedudukannya dalam sebuah parti politik. Orang lama-lama tentunya ingat kisah tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -