Antara dua perhimpunan bersejarah di Dewan Merdeka

Masih adakah masa depan buat Umno?

- Advertisement -

SEJAK hampir 4 tahun kebelakangan ini, Dewan Merdeka WTC, dewan megah kebanggaan parti Umno telah melihat dua perhimpunan bersejarah.

Pertama pada tanggal 14 September 2019 apabila dua parti Melayu terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno menjayakan Himpunan  Penyatuan Ummah. Himpunan bersejarah itu telah menyatukan dua parti Melayu yang sebelum ini sejak Merdeka, bertarung dan bermusuhan sesama sendiri.

Ditakdirkan Allah S.W.T apabila kuasa politik di peringkat Persekutuan tidak dipegang oleh mana-mana antara kedua parti ini, tatkala itu bangkit keinsafan dan kesedaran bahawa perbalahan berpanjangan bukan sahaja merugikan tetapi lebih malang lagi ia akan mengakibatkan puak minoriti yang bersatu mampu dan memiliki keupayaan menundukkan kuasa majoriti.

Apabila kadok mengambil kesempatan naik junjung yang rugi adalah adalah anak-anak bangsa.

Penyatuan ini berlaku ketika Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan iaitu gabungan ketika itu antara PKR, BERSATU, DAP dan PAN. Walaupun Perdana Menterinya Melayu Islam, namun kekuatan yang merupakan tonggak buat kerajaan ini adalah hasil dukungan kerusi-kerusi parti bukan-Melayu Islam yang didominasi DAP.

Umat Melayu Islam rata-rata berasa lega melihatkan inisiatif murni yang diusahakan kedua-dua parti Melayu Islam ini ekoran terlepasnya kadok sehingga melonjak ke junjung angkara perbalahan dan kealpaan semua.

Buat pertama kali kita melihatkan umat Melayu Islam bangga melihat kuasa politik Melayu mereka caturkan bersama melalui penyatuan ini. Berlaku siri-siri Pilihan Raya Kecil, di Kawasan-kawasan Melayu, satu-satu ditawan dengan gagah oleh permuafakatan kedua parti ini.

Namun itu semua sejarah kerana menjelang PRU ke-15, segalanya runtuh, tidak mampu bertahan hingga PRU yang sepatutnya melihatkan kuasa politik Melayu Islam buat pertama kalinya bersatu dan menang membentuk kerajaan yang stabil dan meyakinkan.

Ini membawa kepada himpunan kedua di Dewan Merdeka WTC yang berlangsung hujung minggu baru-baru ini iaitu himpunan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan. Tiada PAS kali ini, tetapi yang hadir tegak dan bangga mereka yang pernah maki, hina dan perlekehkan Umno iaitu Pakatan Harapan, gabungan PKR, DAP dan PAN serta parti-parti lain yang menyokong kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita Harian di muka hadapan menjelaskan 19 parti politik yang berhimpun ini membulatkan tekad menjayakan kerajaan dan menandatangani deklarasi Kerajaan Perpaduan demi membina kerjasama lebih utuh dan padu pada masa depan.

Ini bukan Himpunan Penyatuan Ummah sebagaimana diperintahkan agama, iaitu masing-masing berpegang teguh kepada agama Allah dan berikrar tidak lagi bercerai-berai dan bermusuhan sesama sendiri. 

Ini himpunan mendukung Kerajaan Campuran yang berjaya dibentuk apabila pelbagai parti yang berbeza agenda dan kepentingan, bersatu demi memegang kuasa dengan menafikan hak PERIKATAN NASIONAL yang memiliki 74 kerusi yang rata-rata merupakan kerusi majoriti Melayu Islam.

Yang berhimpun dan membulatkan tekad pada himpunan Kerajaan Perpaduan ini adalah parti-parti yang dulunya memusuhi usaha menyatupadukan ummah. Mereka lebih pro liberal dan sekular dalam pendekatan kerana itu sebarang usaha mengambil pendekatan memartabatkan agama, bangsa dan negara mereka lihat sebagai pelampau, rasis dan ekstrem.

Di dalam himpunan di Dewan Merdeka di WTC tempoh hari termasuklah DAP yang konsisten membawa perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ yang digagaskan mendiang Lee Kuan Yew, musuh utama pimpinan dan ahli-ahli Umno berdekad lamanya.

‘Malaysian Malaysia’ mahu melahirkan sebuah negara yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai kononnya Perlembagaan sekular iaitu yang memisahkan agama dengan urusan negara. Ia mahu melahirkan masyarakat Malaysia yang sama taraf dan kedudukan dengan menidakkan ‘Kontrak Sosial’ yang memberikan keistimewaan dan hak pada orang-orang Melayu iaitu penduduk asal negara bertuah ini.

Presiden Umno sejak zaman berzaman menentang gagasan ini, Almarhum Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussien semuanya sedar ancaman DAP ini, tetapi dalam keadaan kedudukan Umno yang paling lemah hari ini iaitu dengan berbaki cuma 26 dari 222 kerusi di Parlimen, Presiden Umno hari ini dengan bangga dan senang hati membuka pintu pagar kota keramat Umno iaitu Dewan Merdeka WTC untuk dilangkah masuk dan untuk dijulang serta diraikan tokoh dan pimpinan DAP.

Umat Melayu Islam dalam negara melihat dengan mata kepala mereka sendiri aksi Presiden dan beberapa kalangan pimpinan tertinggi Umno di WTC itu. Berapa ramaikah yang bersetuju termasuk kalangan ahli-ahli akar umbi Umno? Berapa ramaikah pasrah dan rela dengan tindakan Presiden Umno itu?

Apa pun itulah realiti politik hari ini yang menimpa Umno sehingga Perdana Menteri ke-10 dengan lantang menzahirkan betapa terhutang budinya beliau dan PH pada Presiden Umno kerana bersetuju bekerjasama dengan mereka sehingga terbentuknya Kerajaan Campuran ini.

Yang pasti ramai yang kecewa. Yang pasti ramai yang marah. Sepatutnya dalam keadaan paling lemah dengan menguasai cuma 26 kerusi di Parlimen, Umno mengusahakan kembali kebangkitannya. Perjuangan keramat memperjuang nasib agama, bangsa dan negara perlu diteruskan bukannya berpeluk dan bersekongkol dengan siapa sahaja asalkan dapat dikalungkan jawatan dan bermegah dengan pangkat.

Setelah gagah berkuasa hari ini, PH sebenarnya tidak lagi memerlukan Umno pun. MCA dan MIC yang merupakan sekutu Umno dalam BN kini menerima layanan kelas ketiga oleh PH. Dalam Pilihan Raya enam negeri yang dijangka tidak berapa lama lagi, Umno dijangka dapat kerusi paling minima dengan mengutamakan PKR, DAP dan PAN dan lebih malang lagi MCA dan MIC akan berputih mata kerana mereka sudah tiada lagi relevan di mata PH.

Perhimpunan pertama perhimpunan yang bertujuan memperkasakan ummah. Melonjakkan kembali kekuatan dan kuasa politik Umno dan PAS. Malangnya perhimpunan kedua, yang direstui Presiden Umno, adalah perhimpunan yang bakal menyaksikan Umno semakin lemah dan akhirnya tersisih dan lupus.

Itulah cita-cita politik DAP. Itulah yang PKR dan Pan mahu lihat, Umno dilemahkan dan akhirnya keras kaku begitu sahaja.

Jika perhimpunan 14 September 2019 melahirkan Piagam Muafakat Nasional dan memberi pengharapan baru buat Umno, percayalah perhimpunan 14 Mei baru-baru ini lebih merupakan perhimpunan untuk mentalqin Umno.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 18/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -