Wakil rakyat simpati bapa meninggal ketika tunggu anak

- Advertisement -

TUMPAT: Kematian seorang bapa Mohd Kamaruzaman Yusof, 45, ketika sedang menunggu anak pulang di sebuah sekolah di Bachok Sabtu lepas mendapat perhatian wakil rakyat.

- Advertisement -

Berita kematian itu mendapat perhatian segera ahli parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Petang semalam mereka menziarahi keluarga terbabit di Kampung Joh, dekat sini untuk bertanya khabar sambil menyampaikan sumbangan.

Isteri arwah, Saripah Mansor, 39 berkata, ketika kejadian kelmarin arwah suaminya menunggu anak pulang dari sekolah di dalam kereta.

Bagaimanapun, katanya arwah mengalami kekejangan secara tiba-tiba kemudian dibantu orang ramai dengan membawa arwah keluar dari dalam kereta.

“Suami saya meninggal dunia selepas dibawa masuk ke kawasan surau sekolah sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya ketika ditemui.

Kematian allahyarham Mohd Kamarulzaman pada peringkat dipercayai akibat stroke haba. Bagaimanapun hasil laporan bedah siasatan mendapati arwah meninggal dunia akibat serangan jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pok Joh, Tumpat.
Arwah meninggalkan empat anak yang masih kecil, manakala isteri tidak bekerja.

Adanan ketika ditemui berharap keluarga berkenaan bersabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang.

“Saya berharap isteri arwah apabila pulang ke Kampung Tawang dapat berhubung dengan penghulu dan Pusat Khidmat Dun Tawang untuk mendapat sebarang bantuan,” katanya.

Sementara itu Mumtaz menasihati orang ramai agar tidak sentiasa terdedah di bawah panas terik matahari kerana dibimbangi boleh berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, penyakit yang datang akibat panas boleh menyerang sesiapa sahaja, terutama yang mengalami masalah kesihatan.

“Paling penting perbanyakkan minum air putih bagi mengimbangi cuaca panas yang tidak menentu sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -