LANGKAWI: Bekalan air dijamin mencukupi sepanjang berlangsung acara Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023 dari 23 hingga 27 Mei ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan memastikan tiada kenangan pahit akan dialami pengunjung serta agensi yang terlibat dengan acara bertaraf antarabangsa itu.
“Malam ini (semalam) akan diadakan mesyuarat bersama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk memastikan bekalan air mencukupi sepanjang LIMA 2023 berlangsung dan dalam masa yang sama, saya akan mendapat taklimat agensi-agensi yang terlibat dengan LIMA 2023 kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri di Langkawi, semalam.
Muhammad Sanusi yang mempengerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Kompleks LADA Langkawi sebelum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri berkenaan telah diberi taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.
Beliau juga turut membuat lawatan bagi melihat persiapan LIMA 2023 di Mahsuri International Exhibition Centre.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati sepanjang tempoh LIMA 2023 berlangsung.
“Jual dengan harga yang munasabah. Jangan buat benda-benda yang boleh meninggalkan nama tidak elok kepada Langkawi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2023