Kalah pilihan raya: PM Thailand mungkin bersara

Parti pimpinan Prayut Chan-o-cha, United Thai Nation hanya menang 36 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Thailand 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

BANGKOK: Penyandang Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha berkemungkinan besar tidak akan meneruskan kerjaya politiknya selepas Parti United Thai Nation pimpinannya kalah dalam pilihan raya umum (PRU) negara itu.

Timbalan pemimpin parti tersebut, Thanakorn Wangboonkongchana berkata pada Isnin (15 Mei), beliau tidak fikir Prayut, 69, akan meneruskan kerjaya politiknya, walaupun tidak menyebut tentang perkara itu.

- Advertisement -

“Beliau (Thanakorn) tidak menyebutnya (akan bersara daripada politik) tetapi saya fikir dia mungkin perlu berhenti (daripada meneruskan kerjaya politiknya),” kata Thanakorn kepada media tempatan.

Keputusan awal terbaharu PRU Thailand 2023 pada Ahad (14 Mei) lalu yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menunjukkan parti pesaingnya, Move Forward dan Pheu Thai berada di dua tempat teratas.

Parti Move Forward mendahului dengan  menang 152 kerusi, diikuti oleh Parti Pheu Thai menguasai 141 kerusi, manakala Parti Bangsa Thai Bersatu pula hanya meraih tempat kelima dengan 36 kerusi.

Thanakorn bagaimanapun menyatakan sokongannya kepada Prayut dan berkongsi rasa kagumnya terhadap jeneral bersara yang telah berkhidmat sebagai perdana menteri selama lebih lapan tahun itu.

“Beliau telah bekerja untuk negara sepanjang hayatnya. Beliau telah berkhidmat untuk negara selama kira-kira lapan tahun sebagai perdana menteri. 

“Saya percaya rakyat Thailand di seluruh negara ini tahu dia telah melakukan begitu banyak untuk negara dan bahawa dia tidak pernah dicemari oleh apa-apa pun – tiada sebarang rasuah,” kata timbalan ketua parti berkenaan.

“Saya percaya bahawa sekurang-kurangnya, Jeneral Prayut atau nama timangannya, Uncle Tu akan kekal di hati rakyat Thai untuk jangka masa yang lama,” tambahnya.

Parti Move Forward pimpinan Pita Limjaroenrat mendahului PRU Thailand 2023 dengan menang 152 kerusi. (FOTO: REUTERS)

Prayut menjadi perdana menteri pada 2014 selepas mengetuai rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan terdahulu yang dipilih secara demokrasi di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra.

Junta tenteranya memerintah Thailand selama hampir lima tahun sebelum pilihan raya umum diadakan pada 2019 di bawah perlembagaan baharu yang ditulis oleh jawatankuasa yang dilantik oleh tentera.

Pada masa itu, Prayut adalah calon perdana menteri tunggal parti pro-junta Palang Pracharat yang kemudian  berjaya membentuk kerajaan dengan sekutu politiknya, walaupun Parti Pheu Thai menguasai majoriti kerusi di Dewan Rendah.

Prayut yang menyertai PRU Thailand 2023 sebelum ini berharap untuk kekal berkuasa selepas lebih lapan tahun memegang jawatan Perdana Menteri negara itu.

Parti mana bakal tubuh kerajaan?

Pemimpin dan calon perdana menteri Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat mengumumkan pada Isnin bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup daripada sekutu politik untuk membentuk kerajaan majoriti.

Pita Limjaroenrat dijangka bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Thailand menggantikan Prayut Chan-o-cha. (FOTO: AFP)

Pada masa ini, gabungan itu merangkumi lima parti pembangkang iaitu Move Forward, Pheu Thai, Prachachat, Thai Sang Thai dan Seri Ruam Thai serta pendatang baharu, Fair Party.

Kelima-lima parti berkenaan secara bersama, mengumpul 310 Ahli Parlimen (AP), iaitu lebih separuh daripada 500 kerusi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, masih terdapat ketidakpastian sama ada Parti Move Forward akhirnya boleh membentuk kerajaan seterusnya dan siapa yang akan memenangi jawatan Perdana Menteri.

Pemilihan Perdana Menteri di bawah perlembagaan semasa Thailand melibatkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mempunyai 250 ahli – dewan atasan parlimen.

Barisan Senator sebelum ini dipilih dan dilantik pada 2019 oleh National Council for Peace and Order (NCPO) –  kerajaan tentera yang diketuai oleh Prayut berikutan rampasan kuasanya pada 2014.

Kelayakan untuk menjadi calon perdana menteri Thailand, memerlukan individu diluluskan oleh lebih separuh daripada gabungan parti yang menang dalam PRU.

Ini bermakna Parti Move Forward perlu menyatukan sekurang-kurangnya 376 undi – sama ada dari kedua-dua Dewan atau hanya dari Dewan Rendah, agar  Limjaroenrat boleh memenangi jawatan Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

PRU yang lalu pada 2019, semua senator kecuali hanya seorang mengundi Prayut  untuk jawatan Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -