Sambutan Hari Guru yang penuh dilema

- Advertisement -

PERTAMANYA saya mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua guru-guru saya dan semua guru-guru di mana jua berada. Guru adalah potret seorang insan yang sangat berjasa kepada pembangunan insan dan negara.

- Advertisement -

Guru bukan insan biasa, guru adalah ‘pengukir syakhsiah’, merekalah yang memahat dan membentuk ketamadunan insan. Kerana itu Sambutan Hari Guru sewajarnya diraikan dengan cara yang paling sopan dan bersesuaian dengan jenama seorang insan bernama guru.

Kami telah menghubungi pihak sekolah untuk hadir seketika bertemu dengan pihak sekolah bagi menyampaikan sedikit cenderahati menghargai jasa para guru, kebiasaannya di mana-mana sekolah guru besar  yang akan menyambut kehadiran kami atau guru yang lain jika guru besar tiada.

Namun kali ini pihak sekolah juga merasa kecewa kerana mereka telah mendapat arahan melalui memo yang diedarkan untuk  tidak membenarkan menerima kehadiran saya sebagai ADUN pembangkang datang ke sekolah bagi mengucapkan Selamat Hari Guru dan menyampaikan sedikit cenderahati sebagai menghargai jasa para guru.

Bukan sahaja di DUN Tanjung Lumpur, malahan juga DUN pembangkang yang lain menerima jawapan yang sama, ada yang minta kami tinggalkan di pondok jaga, ada yang hanya nak menerima di pagar sekolah, apakah ini tempat dan cara yang selayaknya untuk kami hargai guru-guru di dalam DUN kami?

Saya memohon kemaafan kepada semua guru-guru untuk tidak datang ke sekolah-sekolah bagi meraikan hari guru sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini, namun saya tetap hargai jasa para guru. Tak sampai hati rasanya nak meraikan insan yang sangat berjasa hanya sekadar di pintu pagar, ini bukan tempat yang selayaknya untuk meraikan dan hargai jasa mereka.

Akhirnya sekali lagi saya mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua guru-guru di seluruh negara. Tidak lupa kepada semua guru-guru yang telah mendidik saya, anda selamanya guru saya, tiada istilah ‘mantan guru’ kepada guru yang mendidik kita dahulu, setelah ia mendidik kita, maka dia selamanya adalah guru kita.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -