Perpaduan umat bersama Islam menghapuskan permusuhan dan dendam

- Advertisement -

PEPERANGAN Uhud menyaksikan ramai sahabat Rasulullah SAW yang gugur syahid, termasuk kalangan keluarga tercinta yang telah memeluk Islam dan berjihad bersama Rasulullah SAW dengan gagah berani bagi menghadapi musuh Islam. Sedangkan, musuh itu juga merupakan sekeluarga dan sebangsa dengan Baginda SAW.

- Advertisement -

Apabila Baginda SAW melihat mereka yang gugur syahid itu, khususnya wajah Hamzah RA, bapa saudara tersayang dikelar dan dicencang, maka berlakulah kelemahan manusia dalam dirinya sehingga Baginda bersabda dengan garang:

‌لَئِنْ ‌ظَهَرْنَا ‌عَلَيْهِمْ ‌لَنُمَثِّلَنَّ ‌بِثَلَاثِينَ ‌رَجُلًا ‌مِنْهُمْ.

“Kami akan membalas dengan membunuh 30 orang musuh bagi setiap sahabat yang dibunuh!” (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, Jld. 14, Ms. 403)

Sabda Rasulullah itu diikuti dengan sokongan para sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar RA.

Tiba-tiba, Allah SWT mewahyukan ayat-Nya bagi memberikan hidayah serta membetulkan mesej dakwah dan perpaduan umat yang diutamakan kepada keluarga dan kaum bangsa Baginda dahulu. Mesej dakwah dan perpaduan yang berwawasan panjang ini, sifatnya adalah berjaya di dunia hingga akhirat.

Firman Allah SWT:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125) Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada kamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” (Surah al-Nahl: 125–128)

Mesej dakwah untuk menyelamatkan manusia bersama Islam hendaklah diutamakan, khususnya kepada keluarga dan kaum bangsa sendiri. Hal ini demikian kerana, berjaya menyampaikan petunjuk kepada seorang individu sahaja pun nilainya sudah melebihi nilai sebuah kenderaan yang paling mahal harganya, kerana yang menentukan hidayah ialah kurniaan Allah SWT.

Ada kalangan manusia yang keras dan jahil, namun pada akhirnya mereka boleh menerima Islam. Malah, ada kalangan mereka yang berilmu namun tidak layak mendapat hidayah kerana bersifat takbur laksana Iblis. Selain itu, ada juga kalangan mereka yang telah menganut Islam namun tercabut hidayahnya serta meninggalkan Islam dan perjuangannya, kerana berwawasan dunia sahaja tanpa percaya kepada janji Allah di akhirat kelak.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui siapa yang layak mendapat hidayah menjadi Muslim yang setia. Tanpa mengira keluarga, bangsa, mahupun yang jauh jarak dan masanya di alam dunia yang menjadi matlamat rasul akhir zaman.

Maka, Rasulullah SAW memilih firman Allah dengan sabar dan reda menerima ujian yang menyentuh perasaan. Sikap Rasulullah SAW ini juga dibuktikan khusus ketika berlakunya Fathu Makkah (Pembukaan Makkah). Walaupun Rasulullah SAW berada dalam keadaan paling kuat dan berkuasa untuk bertindak, tetapi Baginda tetap mengisytiharkan pengampunan secara beramai-ramai.

Mereka yang memperoleh pengampunan ini termasuklah kalangan yang pernah merancang pembunuhan bapa saudara Baginda SAW, iaitu Abu Sufyan dan isterinya Hindun binti ‘Utbah serta pembunuh Hamzah bernama Wahsyi. Selain itu, seluruh pemimpin Makkah yang sangat zalim dan keras menentang Islam seperti ‘Ikrimah bin Abi Jahal, Safwan bin Umayyah, dan Suhail bin ‘Amr, ketua perunding Perjanjian Hudaibiyyah yang keras menentang Islam turut mendapat pengampunan.

Mereka yang diampunkan itu memeluk Islam dan menjadi sahabat yang setia kepada Rasulullah SAW yang tidak murtad selepas kewafatannya. Mereka bersama menentang golongan murtad yang mengepung negara Islam dan terus bersama pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, sehingga berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang menjadi permulaan kejayaan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Fathu Makkah dan peristiwa pengampunan menarik semua bangsa Arab untuk menganut Islam dan menjadi generasi awal memimpin umat Islam selama beberapa abad, dengan perpaduan bangsa bersama Islam memimpin negara. Selepas generasi terkemudian lemah pegangan Islam dan kefahamannya, maka Allah SWT menukar peranan memimpin umat kepada bangsa lain yang menganut Islam dan kuat pegangan agama mereka.

Firman Allah SWT:

﴿فَخَلَفَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡ خَلۡفٌ أَضَاعُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُواْ ٱلشَّهَوَٰتِۖ فَسَوۡفَ يَلۡقَوۡنَ غَيًّا٥٩﴾

“Maka, datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelik) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsu mereka, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam: 59)

Ayat di atas menyebut mengenai kelahiran generasi kemudian yang tidak berpegang kepada agama dan mengikuti hawa nafsu.

Firman Allah SWT lagi:

﴿هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (harta kamu) di jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang kikir, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Bangsa Arab yang kaya dengan hasil bumi kurniaan Allah kini tercorot syakhsiahnya sehingga tidak mampu mempertahankan Bait al-Maqdis, malah menjadi pendamai pula bersama kumpulan Zionis bagi menyelamatkan Israel yang ganas melampau.

Allah SWT pernah membebaskan Palestin melalui Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang berbangsa Kurdi dan menganut Islam. Baginda mengambil alih kepimpinan umat dan bersikap tidak membalas dendam terhadap Tentera Salib yang melampau keganasan mereka terhadap umat Islam.

Sultan Zahir Baybars daripada bangsa Turki pula mengalahkan bala tentera Tatar pimpinan Hulagu Khan yang ganas menghancurkan Baghdad, pusat kerajaan Islam. Selepas itu, baginda berjaya mengislamkan beberapa orang raja kaum Tatar yang kemudian sama-sama mempertahankan Islam.

Mereka yang jahil dan bebal akan sirah nabawiah, yang sesat fikirannya kerana memisahkan agama daripada politik dan menggunakan akal bersama kejahilannya, cuba melariskan provokasi terhadap ahli PAS dengan peristiwa penahanan ISA, Memali, dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menghalang penyertaan PAS bersama agenda usaha perpaduan Melayu, bagi menyelamatkan negara bersama kepimpinan yang bertonggakkan bangsa bersama Islam yang adil kepada masyarakat majmuk.

Umat Islam diwajibkan mengambil teladan daripada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١﴾

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat, dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)

Ujian yang dihadapi oleh PAS dalam perjuangannya adalah terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan ujian yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan generasi awal umat Islam yang menjadi teladan buat kita. Allah SWT telah mengajar umat Islam dengan ujian yang mencabar iman mereka, sebagaimana firman-Nya:

﴿الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣﴾

“Alif lam mim. (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” (Surah al-‘Ankabut: 1–3)

Allah juga mengajar orang yang beriman supaya tidak melayani mereka yang jahil. Firman Allah SWT:

﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا٦٣﴾

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.” (Surah al-Furqan: 63)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Syawal 1444 / 14 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 14/5/2023

- Advertisement -