Sukan SEA: Hadkan atlet naturalisasi – CDM

- Advertisement -

PHNOM PENH: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali menggesa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk mengehadkan penggunaan atlet naturalisasi pada masa depan.

- Advertisement -

Beliau mencadangkan agar penggunaan atlet naturalisasi dihadkan kepada 10 atau 20 peratus daripada keseluruhan pemain dalam sesebuah pasukan pada temasya sukan dwitahunan tersebut.

Menurut Mohd Nasir, beliau agak terkejut dengan apa yang berlaku di Kemboja dengan tuan rumah menurunkan lebih separuh atlet naturalisasi dalam pasukan mereka.

“Kita tak jangka lebih separuh daripada itu (penggunaan atlet naturalisasi), tidak boleh sampai satu pasukan semua orang luar… tidak dinafikan kadang-kadang ia mengusik psikologi pemain kita.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan, anggaplah satu kekangan, jadi mainlah semampu yang boleh,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, tuan rumah dilihat menggunakan atlet naturalisasi dalam skuad hoki dalam dewan lelaki, kriket dan bola keranjang.

Pasukan kriket Malaysia, yang turun dalam misi merangkul tiga emas, turut terkena tempias apabila gagal menandingi kehebatan tuan rumah selepas mereka menyenaraikan pemain dari India dan Pakistan yang sememangnya merupakan kuasa besar dunia sukan tersebut.

Situasi itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan dua perak setakat ini setelah dikecewakan Kemboja yang merangkul emas bagi acara 50-overs dan Twenty20I (T20I).

Jumaat lepas, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menerusi kenyataan menyatakan kerisauan serta meminta SEAGF dan Jawatankuasa Olimpik yang terlibat supaya membuat penelitian mendalam ke atas penganjuran kriket dan audit ke atas kelayakan atlet yang beraksi pada temasya kali ini.

“Dalam kejohanan lelaki, Kemboja menurunkan 13 pemain asing daripada keseluruhan 15 pemain, yang didakwa Kemboja mereka warganegara secara naturalisasi. Walaupun hanya melihat beberapa pasport, kami dapati pasport berkenaan dikeluarkan pada 23 April 2023, perlawanan pertama berlangsung pada 29 April, manakala tarikh tutup untuk senarai pendek ialah 3 Mac.

“Perkara ini menimbulkan persoalan; bolehkah pindaan dibuat untuk seramai 13 pemain? Jika ya, apakah tujuan penyenaraian pendek? Adakah tindakan ini mengikut semangat Sukan SEA atau semangat kriket?” menurut MCA yang menyatakan bahawa perlu adanya tempoh “cooling off’ selama setahun sebelum pemain beraksi untuk negara baharu. – BERNAMA

- Advertisement -