Messi menang Anugerah Sukan Laureus

- Advertisement -

Kapten Argentina yang menjuarai Piala Dunia, Lionel Messi dinobatkan sebagai Ahli Sukan Terbaik Laureus, manakala juara pecut, Shelly-Ann Fraser-Pryce menerima penghormatan bagi kategori wanita pada majlis anugerah itu, semalam.

Messi juga menerima anugerah bagi pihak pasukan bola sepak lelaki Argentina yang dinamakan Pasukan Terbaik Dunia selepas kejayaan di Piala Dunia Qatar 2022.

- Advertisement -

Penyerang Paris St Germain berusia 35 tahun itu pernah memenangi anugerah itu sekali sebelum ini, berkongsi dengan pemandu Formula Satu, Lewis Hamilton pada 2020.

Messi juga menjadi ahli sukan pertama merangkul kedua-dua anugerah, individu dan pasukan pada tahun yang sama.

“Saya melihat nama-nama legenda luar biasa yang memenangi Anugerah Ahli Sukan Terbaik Laureus sebelum ini: Schumacher, Woods, Nadal, Federer, Bolt, Hamilton, Djokovic… ia benar-benar sukar dipercayai dan suatu penghormatan unik,” kata Messi.

Fraser-Pryce dari Jamaica melalui tahun 2022 dengan cemerlang, termasuk memenangi emas 100 meter di Kejohanan Olahraga Dunia.

Pemain tenis, Carlos Alcaraz yang memenangi Terbuka Amerika Syarikat 2022 dan menjadi pemain nombor satu ranking ATP pula dinamakan ahli sukan yang membuat penampilan terbaik.

Christian Eriksen yang pulih daripada serangan jantung ketika Kejohanan Eropah 2021 untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris bersama Brentford dan kemudian Manchester United sebelum bersaing di Piala Dunia bersama Denmark, menerima anugerah kemunculan kembali terbaik.

Calon Anugerah Sukan Dunia Laureus dipilih oleh media seluruh dunia, manakala pemenang ditentukan oleh 71 ahli Akademi Sukan Dunia Laureus. Anugerah disampaikan setiap tahun sejak penubuhan akademi itu pada 2000. – REUTERS

- Advertisement -