Ben-Gvir degil: EU batalkan acara di Israel

Ben-Gvir terkenal dengan kenyataannya yang penuh kebencian dan perkauman terhadap rakyat Palestin. (FOTO: GETTY IMAGES)
- Advertisement -

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengambil keputusan membatalkan majlis resepsi sambutan Hari Eropah di Tel Aviv selepas menteri pelampau Israel, Itamar Ben-Gvir berdegil untuk turut mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Isnin (9 Mei), delegasi EU ke Israel berkata ia masih akan  mengadakan sambutan  Hari Eropah di Tel Aviv pada hari ini, Selasa (10 Mei) tetapi kesal kerana tahun ini pihaknya telah memutuskan untuk membatalkan penerimaan diplomatik dengan tidak mengadakan majlis resepsi sempena sambutan tersebut.

- Advertisement -

“EU membuat keputusan membatalkan majlis resepsi sempena sambutan Hari Eropah di Tel Aviv kerana tidak mahu menawarkan platform kepada seseorang (seperti Ben-Gvir) yang pandangannya bercanggah dengan nilai-nilai EU,” ujar kenyataan itu, lapor The New Arab

Laporan mula muncul dalam media Israel pada Ahad (8 Mei) mengenai ketidakpuasan hati EU terhadap Ben-Gvir yang ditetapkan menjadi wakil kerajaan ke majlis resepsi tersebut di Tel Aviv.

Jurucakap Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell dalam kenyataan pada Isnin itu berkata pihaknya tidak menyokong pandangan politik Ben-Gvir. 

“Kami tidak menyokong pandangan politik partinya (Ben-Gvir) kerana ia sangat bercanggah dengan semua nilai dan prinsip yang dipegang dan dipercayai oleh EU.

Kemudian pada hari yang sama, delegasi EU di Israel mengumumkan bahawa ia membatalkan penerimaan diplomatik (tidak mengadakan majlis resepsi sambutan Hari Eropah di Tel Aviv), tetapi masih akan mengadakan ‘acara kebudayaan untuk orang awam Israel’ untuk meraikan ‘hubungan dua hala yang kukuh dan membina’.

Berikutan pengumuman EU berkenaan, Ben-Gvir telah mengeluarkan kenyataan menyelar EU,  menuduh dan melabelkannya sebagai ‘hipokrit’

Terdahulu, pegawai kerajaan Israel mengesahkan pada Isnin (7 Mei) bahawa Ben-Gvir ‘ditetapkan (oleh kerajaan) untuk menghadiri majlis resepsi anjuran EU di Tel Aviv itu’.

Ben-Gvir, dalam kenyataan susulannya mengatakan beliau adalah wakil yang ditugaskan, dan telah mengesahkan bakal hadir ke acara tersebut, malah turut memberikan butiran mengenai ucapan yang dirancang untuk disampaikan pada majlis resepsi diplomatik itu.

Ben-Gvir yang mempunyai sejarah kenyataan perkauman mengenai rakyat Palestin, telah didakwa lebih 50 kali pada usia mudanya dengan hasutan untuk keganasan atau ucapan kebencian. 

Ketua parti Kuasa Yahudi sayap kanan itu telah disabitkan pada 2007 kerana menyokong kumpulan pengganas dan menghasut perkauman.

Ben-Gvir menyokong pengilhakan Tebing Barat yang diduduki Israel, di mana dia tinggal di penempatan Yahudi. Penempatan sedemikian dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Hari Eropah ialah perayaan tahunan perpaduan dan keamanan Eropah yang  menandakan ulang tahun Deklarasi Schuman 1950, beberapa tahun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, yang meletakkan asas bagi 27 negara blok EU sekarang ini. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -