Dua projek `sakit’ di Perlis dipulihkan

- Advertisement -

KANGAR: Dua projek ‘sakit’ di negeri ini berjaya dipulihkan dan akan diserahkan kepada agensi pemilik selewat-lewatnya 30 Mei ini.

Dua projek berkenaan ialah pembinaan sebuah tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Loji Bekalan Air Kem Oran.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, baki tiga projek `sakit’ iaitu pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis, menaik taraf Kolej Vokasional Kangar dan menaik taraf nat berbumbung Bukit Keteri kepada dewan serbaguna masih dalam pemantauan agensi pelaksana.

“Hasil dapatan mendapati dua daripada lima projek ‘sakit’ telah diselesaikan, manakala baki tiga projek dalam peringkat pelaksanaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM66 juta.

“Perkembangan kerja pembinaan membabitkan semua projek ‘sakit’ masih bergerak dan kita berharap selepas ini, tiada lagi masalah dihadapi,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Perpaduan Negara, Dato’ Aaron Ago Dagang di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Pada pertemuan itu, Menteri Besar berkata, antara aspek yang dibincangkan bersama Aaron Ago ialah bagi melihat semula pelaksanaan projek yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu meneliti semua projek-projek tersebut bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

“Bantuan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga amat menghargai kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan bagi memberi kebaikan kepada rakyat negeri.

“Kita harap segala perancangan berjalan lancar walaupun pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan negeri berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -