Rumah terbuka Bersatu erat hubungan rakan politik

- Advertisement -

LAHAD DATU: PAS hadir memeriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lahad Datu, di Dewan Tun Mustapha, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Lahad Datu, Ustaz Zaki Ibrahim, pihaknya berbesar hati memenuhi jemputan sebagai rakan politik dalam PERIKATAN NASIONAL.

“Terima kasih atas jemputan ini, kami senang hati menerima layanan yang sangat baik daripada pihak Bersatu sepanjang majlis berlangsung.

“Kami mengharapkan kebersamaan ini akan mengeratkan lagi hubungan baik sesama rakan politik terutamanya di Sabah,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas majlis.

Turut hadir Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Nurmia Habba, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS kawasan, Umee Suziana Abd Ghani serta Ketua Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Cawangan Aman Jaya, Kanizam Kamis.

Bagi Nurmia, peluang bertemu Srikandi Bahagian Lahad Datu, Beluran, Batu Sapi dan Sandakan digunakan sepenuhnya untuk menjalinkan hubungan baik sesama rakan politik.

“Kami mengambil peluang ini untuk mengenali pimpinan tertinggi wanita dalam Bersatu bagi setiap bahagian.

“Semoga hubungan baik ini bermanfaat untuk sama-sama menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dikelolakan oleh Ketua Bahagian Bersatu Lahad Datu, Ahmad Ali Akhbar Khan Ghulam mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.

Turut diadakan sumbangan duit raya kepada anak yatim Sekolah Agama Rakyat Madrasah Mahabbah. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -