‘Anwar sebagai PM kena ubahlah’

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

AYER KEROH: Kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sanggup dijatuhkan demi melawan rasuah disifatkan sebagai retorik untuk menutup kelemahan dan mengalihkan isu kegagalan kerajaan PH-BN dalam menguruskan negara pada masa kini.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, tindakan sebegitu akan menambah kekusutan kepada politik dalam negara yang akhirnya tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

“Apabila dia tak ‘perform’, dia terpaksa mengalihkan isu. Kita lihat kes-kes yang dibawa ialah kes-kes terpilih yang tidak mempunyai kekuatan untuk mendakwa. Ini berbeza dengan pendekatan Tun Dr Mahathir (semasa menjadi PM).

“Kalau kita tengok Tun Dr Mahathir dulu, bila dia nak mengalihkan isu dalam negara dia memainkan isu antarabangsa contohnya soal Malaysia dengan Singapura.

“Tetapi Anwar dia masih bermain dalam dalam lingkungan domestik, lingkungan dalam negara yang akhirnya akan menyebabkan politik Malaysia tidak stabil,” ujar beliau kepada Harakahdaily ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengambil contoh pertelingkahan antara Anwar dengan Mahathir yang sedang berlaku pada masa ini adalah sesuatu yang terlalu politiking yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan negara.

“Dia usik Tun Mahathir. Kemudian Tun Dr Mahathir usik dia semula. Dan akan timbul kisah-kisah lama. Akhirnya rakyat akan terbelenggu dalam krisis politik dalam negara yang tidak membawa Malaysia ke mana-mana sebenarnya.

“Ini pada pandangan saya, Anwar sebagai PM kena ubahlah. Biar kita fokus pada nak menyelesaikan masalah rakyat. Itu yang penting,” katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, pada masa ini banyak kenyataan yang dibuat oleh PM berkaitan rasuah akan ‘dihentam’ oleh netizen sedahsyat-dahsyat dan sehebat-hebatnya kerana dilihat sebagai satu hipokrasi.

“Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi yang terpalit dengan 47 kes. Itu dah memang sedang dibicarakan mahkamah. Dan lihat pula usaha-usaha yang dilakukan.

“Baru-baru ini Zahid dah hantar representasi untuk mohon supaya kes beliau itu digugurkan. Jadi benda-benda ni sebenarnya memberi kesan kepada kepada Anwar sendiri.

“Jadi akhirnya rakyat sini melihat bahawa ini bukan suatu perjuangan menentang rasuah, tapi ini sebenarnya persekongkolan politik. Mereka bukan nak menghapuskan rasuah, tetapi bagi saya lebih pada kelangsungan politik dan politik populis,” katanya.

Kata Bakri lagi, sehingga hari ini masih belum jelas apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup dan harga barangan yang meningkat.

Beliau berpandangan bahawa akhirnya rakyat akan menyesal kerana telah memberi mereka dua kali peluang untuk mentadbir negara tetapi gagal melakukannya dengan baik.

“Dan saya rasa kalau Anwar gagal kali ini, dia akan gagal sampai bila-bila. Ini bukan pandangan untuk jatuhkan dia, tapi pandangan yang kita anggap nasihat.

“Jika dia gagal kali ini selama-lamanya dia akan ditolak kerana rakyat sudah bagi peluang kali kedua. Ini pandangan saya,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -