4,850 keluarga B40 terima sumbangan Yayasan Petronas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 1,350 keluarga asnaf di negeri-negeri Pantai Timur menerima sumbangan berjumlah RM270,000 daripada Yayasan Petronas.

- Advertisement -

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, bantuan itu merangkumi beras, minyak masak, gula, tepung gandum, garam, serbuk minuman coklat, teh dan kekacang.

Katanya ia bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Untuk Kelantan, seramai 600 keluarga dalam kategori B40 di Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh menerima sumbangan tersebut hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Program ini salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya di musim perayaan,” katanya pada program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri, di sini petang semalam. (Foto atas)

Turut hadir, Pengarah JKM Kelantan Said Sidup dan pegawai kanan Petronas.

Selain makanan asas, golongan asnaf terpilih turut menerima barangan seperti kacang tanah, pes kuah kacang, pes rendang, beras pulut dan santan.

Menurut Ahmad Shazly secara keseluruhan jumlah penerima program berkenaan di seluruh negara bertambah kepada 4,850 keluarga B40 berbanding 3,990 keluarga tahun lalu.

Katanya juga penganjuran program itu sebahagian daripada fokus Yayasan Petronas terhadap kesejahteraan dan pembangunan komuniti. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -