Kelantan perkenal Tek-C hibrid guna solar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan penggunaan Tek-C hibrid (beca solar) menjelang 2024 sebagai salah satu usaha untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, penggunaan Tek-C hibrid merupakan pembaharuan baharu sektor pengangkutan beca tradisional.

Katanya, setakat ini Tek-C hibrid telah diperkenalkan di Bandar Kota Bharu yang merupakan salah satu tempat yang menjadi tumpuan ramai pelancong.

“Tujuan kita memperkenalkan Tek-C hibrid sebagai pembaharuan yang mana ramai pelancong dapat menggunakan pengangkutan tersebut untuk ke lokasi yang mahu lawati.

“Bagaimanapun, kita masih mengekalkan penggunaan beca tradisional yang mana menggunakan bateri,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan sara hidup kepada 17 penarik beca, di sini hari ini.

Md Anizam berharap penggunaan Tek-C hibrid dapat memberi manfaat terutama kepada pengayuh beca dalam usaha menjimatkan tenaga dan masa.

Penggunaan Tek-C hibrid boleh dicas selain menggunakan solar bagi menghidup dan menggerakan kenderaan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/4/2023