Ibrah Perang Badar 17 Ramadan

Ahmad Yahya dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran BAKKAH di Kuala Lumpur pada hari ini, 4 April 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramadan merupakan bulan suci iaitu pada saat al-Quran diturunkan oleh Allah SWT. Di bulan suci ini pula, pernah terjadi peperangan yang sangat dahsyat dan bererti dalam kehidupan umat Islam iaitu, peperangan Badar.

Perang Badar telah berlaku pada 17 Ramadhan, pada tahun ke-2 Hijrah yang berlaku di suatu tempat bernama Badar.

- Advertisement -

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, Ayat 123: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kalian mencapai kemenangan dalam Peperangan Badar, sedang kalian berkeadaan lemah (kerana kalian sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kalian kepada Allah, supaya kalian bersyukur (akan kemenangan itu).”

Itu antara petikan tazkirah penuh bermakna daripada Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yahya ketika beliau muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH).

Tazkirah yang disiarkan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini; dan boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily dan Facebook TV PAS itu berjudul, Ibrah Perang Badar

Kalau kita lihat kepada latar belakang peperangan, pada asalnya Nabi Muhammad s.a.w ketika itu hanya mempelawa kepada sesiapa yang ingin turut serta untuk bersama Baginda turun ke Badar bagi menyekat rombongan dagang bagi menyekat pimpinan Abu Abu Sufyan dengan membawa pelbagai barangan dari Syam (Syria) ke Mekah. 

“Rasulullah segera menghantar kaum Muslimin untuk menyekat kafilah itu ekoran barang yang dibawa oleh mereka merupakan harta milik kaum muhajirin (umat Islam) yang didagangkan dan dirampas serta dijual sewaktu mereka berhijrah ke Madinah.

“Baginda beranggapan sekatan perlu dibuat agar kafilah yang membawa barang dagangan ini sudah pastinya akan dijana dan mereka akan membeli senjata. Seterusnya, mereka mengambil kesempatan menyerang Madinah pada suatu hari nanti,” kongsinya.

Justeru, beliau turut memberitahu bahawa terdapat beberapa pengajaran yang kita boleh ambil daripada peperangan badar yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW ini adalah penentu kepada mati hidupnya Islam. 

“Kemenangan dalam Perang Badar dengan pertolongan Allah telah menjadi bukti akan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Hal ini menjadi pengajaran kepada umat Islam agar sentiasa berpegang teguh dan menyerahkan segala urusan kepada Allah. 

“Agama Islam yang kita anuti dan nikmati hari ini adalah merupakan hasil perjuangan yang menuntut pengorbanan yang tinggi dari para pendukungnya, khususnya Nabi dan para sahabat Baginda SAW. Oleh yang demikian, marilah kita hargai Islam ini dengan mengamalkan sepenuhnya,” ujarnya.

Seterusnya, ungkap beliau, pada zaman Nabi Muhammad SAW sudah pun diwujudkan majlis syura atau bermesyuarat sebelum membuat apa-apa keputusan dalam perkara yang tiada nas yang jelas dalam al-Quran dan al-Sunnah, adalah merupakan asas pentadbiran dan politik Islam yang tetap, yang tidak harus diabaikan.

“Selain itu, Baginda juga menekankan sifat keimanan yang kental, doa yang berterusan serta tawakkal yang tinggi kepada Allah SWT merupakan senjata yang ampuh dan berkesan bagi menghadapi sebarang serangan musuh-musuh Allah SWT dan Islam di sepanjang zaman,” katanya.

Menurut beliau lagi, Nabi Muhammad SAW  turut memperkatakan bahawa sesuatu kebenaran itu tidak akan dapat ditegakkan jika ianya tidak disertai dengan setrategi yang betul, perancangan dan penyusunan yang kemas dan rapi.

“Seterusnya, Nabi Muhammad SAW  sentiasa berpesan agar umat Islam mesti yakin bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Kuasa untuk memberi pertolongan dan kemenangan kepada perjuangan Islam sekalipun jumlah pengikutnya kecil dan kekuatannya terhad kesempurnaan dan faktor kesungguhan melakukannya. 

“Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam. Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -