PAS alu-alukan nama besar sertai PN

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

SERDANG: PAS sangat mengalu-alukan penyertaan tokoh besar ke dalam PERIKATAN NASIONAL (PN) sama ada melalui parti Islam itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

- Advertisement -

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran tokoh-tokoh berkenaan akan memberi nilai tambah kepada PN berdasarkan pengalaman politik mereka.

“Insya-Allah (kita alukan Tan Sri Annuar Musa), kita juga jangka lebih ramai akan turut serta, saya tidak boleh sebut lagi tetapi insya-Allah akan ada. Tidak terhenti di situ sahaja,” ujarnya ketika ditanyai mengenai desas sesus kemasukan Annuar ke dalam PAS.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, difahamkan mereka yang mahu menyertai PN percaya gabungan itu adalah parti terbaik selepas kecewa dengan perjuangan parti yang pernah disertai sebelum ini.

“Setiap mereka yang bersama dengan PAS sudah tentu ada peranan masing-masing, kita akan beri mereka peranan-peranan tertentu.

“Saya percaya orang yang mempunyai pengalaman seperti Annuar dan lain-lain ada peranan yang boleh kita berikan untuk sama-sama memperkasakan PAS sebagai parti politik yang sah dalam negara,” ujarnya lagi. – TRDI.mu

- Advertisement -