Anak perantau perlu pertahankan Kelantan

- Advertisement -

BANDAR BARU BANGI: Menteri Besar Kelantan mengharapkan dalam perjuangan PAS yang sentiasa memahami tuntutan perjuangan Islam, anak perantau di luar Kelantan turut menyertai dan memahami kewajipan untuk mempertahankan negeri itu.

Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, Kelantan sebuah negeri yang kecil berbanding negara yang ada selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah pada 1924, apabila tidak ada lagi negara bangkit selepas itu untuk melaksanakan tadbir urus berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah secara 100 peratus.

“Alhamdulillah di Kelantan, apabila kita melaksanakan Membangun Bersama Islam, inilah yang kita hendak kembalilkan semula kepada pemerintahan seperti ketika kegemilangan Islam dahulu. Kita cuba di Kelantan, insya-Allah setakat ini, kita dapat menguasai dari segi pendidikan.

- Advertisement -

“Sebagai contoh pada bulan ini, bulan Syahrul Quran, kita berusaha dalam pendidikan. Ketika ini, kita mempunyai 2,222 pelajar di 12 Maahad Tahfiz, termasuk Tahfiz Tok Guru.

“Ini bukan perkara kecil kerana mereka akan menjadi duta kita, sarjana dalam pelbagai bidang untuk mengembangkan ilmu Islam berasaskan pimpinan wahyu,” katanya pada Majlis Ihya Ramadan Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Dato’ Abdullah Yaakob; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kelantan (UPKN), Kamaruzaman Mohamad serta Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan), Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin.

Menteri Besar berkata, usaha penambahbaikan bidang pendidikan dilakukan secara berterusan melalui portfolio yang diwujudkan, manakala dalam kebajikan, walaupun hanya sebuah negeri, Kelantan berupaya membantu rakyat berdasarkan kemampuan yang ada.

“Dari segi Integriti, semasa berada dalam Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, kita lihat keupayaan wakil rakyat kita dalam kerajaan, keupayaan untuk mengurus tadbir sebagaimana yang dikehendaki oleh manhaj atau dasar kita.

“Kita mengharapkan bahawa dasar Membangun Bersama Islam yang diteruskan dan sentiasa kita berusaha untuk menambah baik dengan keupayaan yang ada. Ini suatu cabaran di hadapan kita, khususnya apabila musuh Islam sentiasa berusaha untuk melemahkan atau memberi pentafsiran salah terhadap Islam,” katanya.

Anak muda fokus mendengar ucapan Menteri Besar Kelantan
Anak perantau kaum India tidak melepaskan peluang bergambar bersama Menteri Besar Kelantan

Sementara itu, katanya satu perkara yang patut umat Islam ingat ialah Allah SWT sengaja memilih Ramadan yang banyak berlaku peristiwa penting pada bulan itu.

Menurutnya, peristiwa berkenaan termasuk perang Badar yang berpihak kepada pejuang Islam, pembukaan kota Makkah dan pembebasan Al Quds oleh Sallahuddin al Ayyubi dan juga penguasaan Andalus.

Katanya, semua perisitwa pada Ramadan menunjukkan bahawa pada bulan suci ini, umat Islam mempunyai kekuatan kerohanian.

“Kalau tidak, bagaimana boleh dapat memenangi peperangan yang begitu hebat, semestinya Ramadan adalah bulan untuk mengukuhkan keimanan dengan program sepanjang Ramadan. Sebab itu kita dalam sejarahnya, kita menang dalam Ramadan.

“Insya-Allah apabila kita ada program tadarus al-Quran akan menambah lagi kekuatan untuk menghadapi cabaran semasa, seperti pada tahun ini kita memilih ayat Surah At Taubah untuk menunjukkan semangat jihad untuk mempertahankan kebenaran.

“Ini khususnya untuk menegakkan agama Islam di muka bumi ini, sesuatu yang wajib kita lakukan dengan musuh Islam sentiasa berusaha untuk menghalang kebangkitan semula Islam atau tidak berulang lagi zaman kegemilangan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2023

- Advertisement -