Muslim Care bina rumah, Muslimat sumbang perabot

- Advertisement -

JASIN: Keluarga mantan Setiausaha Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Melaka Allahyarham Ustaz Hasri Hamdan bertuah apabila menerima sumbangan perabot disampaikan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

- Advertisement -

Baru-baru ini balu arwah Siti Nuur Aisyah, 36 yang tinggal di Kampung Tengah, Merlimau, Jasin mendapat rumah baharu bernilai RM90,000 disumbang Muslim Care.

Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka Kintan Man berkata, pihaknya
mengambil inisiatif menyumbang beberapa set perabot bernilai hampir RM10,000 kepada keluarga Siti Nuur.

Katanya, setelah siap pembinaan rumah tersebut, Dewan Muslimat PAS Melaka
mengurus pembelian perabot iaitu sebuah katil kelamin, tiga katil bujang, almari (3) dan sebuah meja makan.

“Turut disumbang peti sejuk, mesin basuh dan dapur gas untuk kegunaan keluarga Nuur Aisyah dan lima anaknya,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga berkata, empat daripada anak Aisyah bersekolah di tahfiz dan sekolah kebangsaan.

Pada 19 Mac lepas Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Mohd Johari Ismail menyerahkan kunci rumah tersebut, yang turut disaksikan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Kintan juga berkata, sejarah pembinaan rumah itu bermula apabila Nuur Aisyah menyampaikan hasrat untuk memiliki rumah sendiri di tanah milik keluarganya.

Ekoran itu katanya Dewan Muslimat PAS Melaka mengetengahkan hasrat itu kepada Muslim Care Malaysia dan akhirnya terbinanya rumah tersebut di bawah program Home2Live.

Menurutnya Muslim Care berjaya mengumpul dana dalam masa yang singkat dan pembinaan rumah hanya mengambil masa hampir tiga bulan.

“Dengan adanya rumah baharu diharap keluarga Aisyah dapat meraikan Ramadan dan menyambut Syawal dengan lebih bermakna,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -