Kes bunuh diri warga polis kecil, terpencil

Menteri Dalam Negeri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persekitaran tempat kerja serta status kesihatan adalah antara faktor yang menyebabkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami tekanan dan cenderung membunuh diri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil kajian PDRM mengenai kesihatan mental turut mendapati beberapa faktor lain seperti masalah penyesuaian di tempat baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian kerana berjauhan dengan keluarga dan kekecewaan dalam perhubungan.

- Advertisement -

Secara jujur dan berterus terang, katanya kerajaan mengakui bahawa kebelakangan ini ada kecenderungan dalam petugas polis yang bertindak membunuh diri, namun ia sudah dikesan seawal tahun 2015.

“Bagaimanapun, menerusi kajian penerokaan bunuh diri dalam kalangan warga polis untuk tempoh antara 2014-2018 terdapat tujuh kes bunuh diri, manakala tahun ini kita tahu ada kes bunuh isteri dan menembak diri sendiri,” katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).

Wan Hassan Mohd Ramli

Ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Wan Hassan bertanyakan langkah bagi memastikan isu kesihatan mental dapat dibendung dalam kalangan anggota polis terutama yang memegang senjata api bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan mental yang stabil.

Saifuddin berkata, jumlah kes bunuh diri dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM masih dianggap kecil dan kes terpencil berbanding 130,000 kekuatan anggota dengan tugas berat. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -