Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tindakan kerajaan persekutuan membelakangi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti politik dianggap bertentangan dengan semangat federalisme.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, amalan sedemikian dianggap tempang, lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mahu dikenali sebagai Malaysia Madani.

Katanya, tindakan seumpama itu jelas mengundurkan negara ke belakang dan bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

“Semua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahu pun program yang melibatkan hubungan dua hala persekutuan dan negeri.

“Apatah lagi dalam perkara berkaitan urus tadbir kerajaan, perbezaan politik harus diketepikan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena pada kenyataan di sini.

Semalam Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor mendedahkan beliau dihalang daripada terlibat dengan mana-mana program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi.

Malah program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan yang dijadual diadakan di Dewan A, MAEPS Serdang 9 April ini turut diarah ditarik balik.

Oleh itu Ahmad berharap Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak mengundurkan negara ke landskap politik lapuk.

Katanya juga polemik itu dicetus apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah cuba disukarkan kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -