Masjid Kampung Laut lokasi Perkampungan Ramadan

- Advertisement -

TUMPAT: Masjid Warisan Kampung Laut dipilih Majlis Daerah Tumpat (MDT) sebagai lokasi program Perkampungan Ramadan yang ke-11.

- Advertisement -

Yang Dipertua MDT Rusydee Abdullah berkata, kali ini giliran DUN Pasir Pekan dan Masjid Warisan Kampung Laut dipilih sebagai tuan rumah.

Katanya, beberapa aktiviti sempena program tersebut diadakan dengan pengisian aktiviti kerohanian dan kebajikan.

Antaranya siri Kuliah Subuh Pagi Jumaat dan Sabtu, Tadarus Belia, Haflah Al Quran, Kembara Ramadan MDT Bersama Masyarakat dan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Ihya Ramadan.

“Sebelum ini dikenali dengan nama Program Ihya Ramadan MDT dan sekarang Perkampungan Ramadan dikendalikan Unit Pembangunan Belia MDT,” katanya pada perasmian program tersebut semalam.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Program tersebut menjadi acara tahunan MDT.

Sementara itu Menteri Besar berharap umat Islam memperbanyakkan amal ibadat sepanjang bulan mulia sekarang terutamanya membaca al Quran sekurang-kurangnya satu juz sehari, di samping amalan menderma.

“Ganjaran amalan tersebut sangat besar dan rugi sekiranya kita tidak merebut peluang yang ada sekarang,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -