Penjualan ganja di Thailand membimbangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) menyuarakan kebimbangan berikutan langkah negara jiran, Thailand, mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyatakan kesan tindakan negara itu kerana mengikut laporan, kira-kira 30 peratus rakyat yang terlibat dadah melawat Thailand.

- Advertisement -

Namun mengikut laporan media, kerajaan Thailand hanya membenarkan penggunaan ganja dan hem untuk tujuan perubatan dan penyelidikan, manakala penggunaan untuk rekreasi masih dilarang.

Dr Ismail juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menempatkan penagih di satu kawasan yang khusus seperti di pulau.

“Berapa ramaikah anggota pasukan penguat kuasa, sama ada polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikenakan tindakan kerana terlibat dengan dadah?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ismail berkata, program membanteras dadah diperuntukkan sebanyak RM308 juta, tetapi penularan dan aktiviti dadah semakin meningkat.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan bilangan penagih dadah yang didaftarkan di seluruh negara dan peratus usaha pemulihan yang kerajaan capai. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -