Mohon peruntukan negeri atasi hakisan Pantai Damat

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil maklum berkaitan masalah hakisan pantai di kawasan Parlimen Bachok seperti di Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Nipah, Pantai Kemayang dan Pantai Damat dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

Menurut kementerian itu, berdasarkan pemerhatian jabatan, didapati pantai-pantai Parlimen Bachok masih terkawal dan stabil kecuali Pantai Kemayang dan Pantai Damat.

“Pantai-pantai tersebut mengalami hakisan ketika musim tengkujuh dan keadaan pantai kembali stabil ketika luar musim tengkujuh,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Syahir Che Sulaiman [PN-Bachok] di Dewan Rakyat, hari ini.

Syahir dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kementerian untuk membina struktur pengawalan hakisan pantai di kawasan Parlimen P.025 Bachok yang bagi mengatasi permasalahan hakisan yang semakin teruk setiap kali musim tengkujuh seterusnya menjejaskan aktiviti nelayan dan penempatan penduduk.

“Bagi perancangan jangka masa pendek, JPS Negeri Kelantan telah melaksanakan kerja di pantai Kemayang dengan membina struktur lapis lindung batu (rock revetment) sepanjang 150 meter dengan kos bernilai RM500,000 menggunakan peruntukan negeri.

“JPS negeri juga sedang memohon peruntukan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah hakisan sepanjang 150 meter di Pantai Damat,” kata kementerian itu.

Tambahnya, di bawah perancangan jangka masa panjang, JPS telah memohon peruntukan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Damat. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -