Thai Hot Guy: Jawapan menteri tidak bertanggungjawab

Mohd Firdaus Nawi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penganjuran program Thai Hot Guy, kali pertama di negara ini ketika umat Islam sedang berpuasa dianggap sebagai perlanggaran tatasusila dan kelucahan melampau yang perlu dihalang.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Nawi berkata, penganjuran program seumpama itu perlu diambil tindakan tegas oleh kerajaan.

Katanya semua agama pastinya tidak merestui modus operandi kelucahan melampau sebegitu melainkan kumpulan anutan LGBT.

“Apa lagi melibatkan amalan yang boleh menjurus kepada seks bebas. Apa mahu jadi dengan tatakelola pentadbiran negara.

“Ketika surau dan masjid dihad kepada mereka yang ada tauliah sahaja untuk berkuliah, kami mohon tindakan yang sama dilakukan kepada perkara yang tidak senonoh tersebut,” katanya pada kenyataan di sini.

Program Thai Hot Guy yang dijadual diadakan pada 30 Mac ini di Kuala Lumpur kini tersebar di media sosial.

Mohd Firdaus berkata, atas apa jua alasan program seumpama itu perlu dihalang, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menjalani ibadat sempena Ramadan.

Menurutnya juga Pemuda PAS Kelantan kesal kenyataan menteri ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari di sidang Dewan Rakyat.

“Jawapan menteri ‘YB janganlah masuk’ tidak munasabah seolah tiada apa-apa kesalahan yang berlaku yang boleh menyumbang perlakuan sumbang. Jawapan itu langsung tidak bertanggungjawab,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -