Sabery rasa ‘mati hidup semula’ terima sumbangan Amzad

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan, Ahmad Sabery Muhamad anak jati pantai Batu Burok merasakan seperti ‘mati hidup semula’ apabila menerima sumbangan peribadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim.

Beliau yang sudah 18 tahun menyara keluarga dengan hasil laut ditimpa tragedi 14 Februari lalu hingga mengakibatkan enjin botnya rosak menyebabkan dia tidak dapat melakukan aktiviti perikanan seperti rutin selalunya.

Tambahan pula kos bagi pembelian enjin bot baharu adalah sebanyak RM12,800 yang tidak termampu olehnya, sedang usaha Sabery mendapatkan permohonan untuk penggantian tersebut juga menemui jalan buntu.

Oleh kerana desakan dan keperluan hidup, dia terpaksa juga menumpang bot rakan untuk ke laut hinggalah masalah beliau sampai ke pengetahuan Dato’ Ahmad Amzad yang bersetuju memberikan sumbangan.

Jelas terpancar kegembiraan di wajah Sabery ketika diserahkan sendiri sumbangan tersebut oleh Dato’ Amzad ketika hadir bersama Ketua Penerangan MTD Batu Burok, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh di rumah wakil rakyat itu di Durian Burong, di sini kelmarin.

Dalam perbualan mereka, Dato’ Amzad menzahirkan kekaguman beliau terhadap kesungguhan anak-anak muda yang bekerja sendiri menampung keluarga di mana turut diimbas beliau mengenai kehidupannya masa kecil.

Cerita beliau, bondanya menaiki bas menjual kain di merata tempat di mana bermacam pengalaman yang ditimba itu menyebabkan Amzad mudah berasa cakna kepada para peniaga sehingga turut memperuntukkan sumbangan untuk golongan itu.

Beliau mendoakan agar Ahmad Sabery akan maju dalam usahanya serta diberikan rezeki halal hingga kaya raya agar dapat memberikan manfaat pula kepada ummah melalui zakat atau sedekah dirinya suatu hari nanti.

Terdahulu pada 10 September lepas, Amzad juga telah menyumbang 40 motosikal termasuk roda tiga dengan nilai keseluruhan RM200,000 kepada penduduk miskin tegar dalam senarai E-Kasih bagi DUN Batu Burok, Ladang, Bandar dan Wakaf Mempelam. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -