Hilang nyawa, mata pencarian kerana pemandu mabuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin ingin tahu apakah langkah tegas kerajaan dalam menangani isu kemalangan berpunca daripada pemandu mabuk yang menyebabkan pihak lain menjadi mangsa sehingga ada yang kehilangan nyawa dan mata pencarian.

- Advertisement -

Beliau meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pihak Kerajaan Persekutuan akan meneruskan usaha untuk mencari penyelesaian kepada konflik d Myanmar yang telah dimulai oleh Kerajaan terdahulu.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah peranan Kementerian sehingga kini bagi memastikan Projek Kedah Aerotropolis diteruskan demi meningkatkan aktiviti ekonomi di Selatan Kedah.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan hak rawatan OKU yang terlibat dalam masalah penagihan dadah. Dimaklumkan bahawa pusat pemulihan AADK tidak menerima OKU sebagai pesakit. Apakah Kerajaan akan mengambil tindakan untuk membina pusat pemulihan khusus untuk orang OKU.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:

(a) berapa anggaran jumlah rumah mampu milik yang diperlukan di Negeri Kelantan pada waktu ini; dan

(b) berapa anggaran jumlah rumah mampu milik di Negeri Kelantan yang sedang dibina oleh pihak Kementerian pada waktu ini.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan polisi pemasangan lampu jalan awam (lampu jalan kampung / mini tar) dan berapa lamakah tempoh kelulusan permohonan sehingga pemasangan dilakukan.

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan :

(a) senarai kawasan hotspot yang telah dipasang sistem amaran awal bencana banjir seluruh negara sehingga tahun 2022; dan

(b) sejauh mana penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dapat mengurangkan risiko bencana banjir pada masa akan datang.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana komitmen Kementerian untuk menubuhkan Majlis Autisme Kebangsaan.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:

(a) apakah Kerajaan PH-BN mempunyai perancangan untuk mewujudkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT); dan

(b) adakah kajian sudah dilakukan ke arah itu.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah pihak Kerajaan mempunyai pegawai kesihatan yang mencukupi bagi merealisasikan cadangan membuka beberapa klinik kesihatan secara lebih masa bagi menangani masalah kesesakan hospital terutamanya di unit kecemasan.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah langkah tegas Kerajaan dalam menangani isu kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk yang sering kali menyebabkan pihak lain pula yang menjadi mangsa sehingga ada yang kehilangan nyawa dan mata wang pencarian.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kerajaan akan menilai semula status Penang Technology Park menjadi hab pendidikan dan kesihatan memandangkan penduduk Bertam membantah projek tersebut di Kepala Batas kerana gagal memenuhi garis panduan Environment Impact Assesment, Social Impact Assesment dan Traffic Impact Assesment.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perencanaan jangka panjang Kementerian untuk mengurangkan impak daripada bencana alam seperti banjir besar yang melanda penghujung tahun 2021.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah keperluan untuk mengadakan pilihan raya PBT dan adakah ia nya tidak mengakibatkan berlakunya pembaziran kepada Kerajaan.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Kesihatan menyatakan status kemajuan terkini projek pembinaan blok baru dan naik taraf blok lama OPD Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu dan pembinaan klinik kesihatan (Jenis 7) dengan Kuarters Paya Datu, Kuala Terengganu.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah inisiatif pihak Kementerian untuk mengatasi masalah banjir air pasang besar dalam pekan Kuala Kedah dan sekitarnya.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan perancangan Kerajaan untuk menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat di Lembah Klang terutamanya di daerah Kuala Langat yang sangat rancak membangun.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Kesihatan menyatakan tindakan pihak Kementerian untuk mengatasi kesesakan di hospital dan klinik kesihatan sedia ada.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Luar Negeri menyatakan intipati Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) yang ditandatangani pada 14 Disember 2022 serta bilakah ianya akan dijangka mula berkuat kuasa.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan bagi menambah baik fasiliti di hospital yang lama seperti Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh mana komitmen Kerajaan dalam mengekang ancaman nelayan warga asing di perairan negara yang mengaut hasil laut secara haram. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -