Lihat keutamaan jalan untuk dinaik taraf

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya disarankan melihat keutamaan jalan di antara Pusat Khidmat Pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Bandar Jengka ke Jengka 8 yang telah diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk dinaik taraf.

- Advertisement -

Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, jalan itu dilalui oleh kenderaan berat dan berhampiran sekolah tahfiz.

“Kebetulan di situ terdapat satu madrasah yang disebut sebagai sekolah tahfiz yang juga mengundang bahaya kepada ibu bapa yang menghantar pelajar yang menuntut ilmu di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pusat dan negeri juga perlu mengadakan kerjasama yang erat untuk melihat masalah jalan.

“Dalam perbahasan yang lalu saya menyebut supaya pusat dan juga negeri mengadakan kerjasama yang erat untuk melihat kedua-dua jalan.

“Masyarakat tidak tahu jalan negeri atau persekutuan tetapi akibat yang ditanggung ialah masyarakat terpaksa menghadapi jalan dalam keadaan kementerian dan negeri masih tolak menolak.

“Akhirnya tolak menolak itu bukanlah sekadar menyusahkan bahkan mengundang kehilangan nyawa masyarakat setempat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -