Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (10)

- Advertisement -

HAKIM kurang senang dengan gurauan peguam pempetisyen. Catatan perbicaraan petisyen PRU15 P.037, Parlimen Marang 20 Mac 2023:

YB Ustaz Sulaiman Sulong hadir sebagai saksi sepina pempetisyen. Beliau ialah ADUN Pengkalan Berangan dan juga Setiausaha PAS Kawasan Marang. Pada soalan yang ditanya oleh peguam untuk mengesahkan Ustaz Sulaiman mengenali Mohd Nordin Abdul Jalil, beliau memainkan video dan menunjukkan gambar. Saksi mengatakan beliau kurang pasti untuk beberapa gambar dan mengecam Mohd Nordin untuk beberapa gambar lain.

Peguam meminta saksi menjawab adakah tugas JK Pilihan Raya ialah memberikan wang kepada pengundi. Saksi menjawab tidak benar. Ustaz Sulaiman kemudiannya mengesahkan Mohd Nasir Ismail sebagai AJK PAS Kawasan Marang dan juga wakil calon. Facebook Ustaz Sulaiman kemudiannya ditandakan oleh mahkamah selepas diminta oleh peguam pempetisyen. Beliau tidak pasti berapakah jumlah penerima dana. Ustaz Sulaiman menjelaskan dana itu adalah program bantuan kepada belia-belia yang berhak dan layak.

Beliau telah menerangkan polisi-polisi kerajaan sewaktu perasmian program yang disampaikan oleh beliau. Beliau bersetuju tarikh pembahagian dana adalah pada 17 November di Wakaf Tapai. Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam kerajaan tidak boleh diberikan wang semasa dan sebelum PRU kerana Kerajaan Negeri masih berfungsi. Beberapa surat dari TSIS dirujuk dan peguam bertanyakan soalan berkaitan tarikh yang diarahkan untuk melaksanakan program.

Mengenai i-Belia yang juga disampaikan oleh saksi, menggantikan Menteri Besar di Dewan Tok Guru, Rusila pada 15 November 2022. Saksi tidak bersetuju hanya gambar orang kerajaan sahaja yang boleh dipaparkan pada gegantung program kerana ia boleh juga diletakkan gambar orang lain yang terlibat dengan program. 

Manakala lokasi selain premis kerajaan boleh dibuat dengan keizinan kerajaan. Peguam menunjukkan foto yang ada gambar bendera parti PAS dan PN di dewan itu dan mencadangkan perkara itu boleh mempengaruhi penerima bahawa hanya PAS dan PN yang memberikan wang kepada penerima.

Aktiviti PKM Pengkalan Berangan, ia di bawah Pegawai Khas dan pegawai itu akan melapor kepada TSIS dan Pejabat Daerah bagi program ini. Manakala beliau sebagai ADUN, hanya dimaklumkan untuk menjadi perasmi. Gambar Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Awang sebagai calon Parlimen Marang, dipersoalkan ada dalam gegantung di program itu, adakah dibolehkan dalam majlis rasmi Kerajaan Negeri, saksi menjawab beliau tidak terlibat dalam persiapan program. 

Peguam mencadangkan gambar itu akan mempengaruhi pengundi, saksi tidak bersetuju kerana pengundi bebas memilih. Saksi juga mengatakan dalam kertas undi, gambar calon tidak disertakan dan beliau tetap tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang ia adalah satu kempen PRU. 

Peguam bertanyakan kenapa tarikh dipilih dalam waktu kempen, saksi menjawab ia adalah telah ditetapkan waktu sebelum tarikh PRU umumkan. Saksi juga berpendapat pengundi berumur 18 tahun ke atas adalah pandai untuk memilih calon dan ramai antara mereka sudah mempunyai pilihan sendiri.

Peguam Responden memulakan soal balas:

YB sebagai perasmi program tidak boleh meneka perasaan penerima dan ia hanya boleh diketahui melalui penerima itu sendiri, saksi bersetuju. Berkaitan gambar calon di program itu, adakah ditulis beliau sebagai calon? Tiada, saksi menjawab. Malahan nama juga tiada disediakan. Saksi juga bersetuju yang persediaan program dilakukan oleh penganjur dan saksi tiada kuasa untuk campur tangan gambar mana yang hendak dinaikkan. 

Saksi, sebagai ADUN, Setiausaha PAS Kawasan dan atas apa-apa jawatan saksi juga tidak pernah mengarahkan program itu dilakukan di Rusila. Penganjur adalah TSIS, Pejabat Daerah dan PKM.

Jabatan PRU adakah jabatan yang diwujudkan khusus untuk mengendalikan hal pilihan raya dan mengambil arahan khusus dari Jabatan Pilihan Raya Pusat, kata saksi. Saksi tidak ingat nama-nama JK Jabatan Pilihan Raya Pusat dan Negeri dan beliau tidak terlibat dengannya. Responden tidak mengisi mana-mana jawatan sebagai JK dalam Jabatan Pilihan Raya Pusat, saksi bersetuju. 

Saksi juga bersetuju yang beliau tidak tahu bilakah PRU akan diadakan dan responden juga belum dinamakan sebagai calon sebelum Parlimen dibubarkan. Saksi juga tidak bersetuju yang ucapan beliau mahukan pengundi memilih responden dalam apa-apa tindakan beliau di program itu dan i-Belia ini adalah bantuan berkala Kerajaan Negeri.

Merujuk kepada ejen-ejen yang dinyatakan oleh pempetisyen, saksi tidak tahu siapa mereka. Saksi menyatakan seingat beliau, tidak lebih 20 ‘mock cheque’ yang beliau berikan pada penerima dana program, selebihnya diberikan oleh pegawai TSIS, wakil kerajaan dan PKM. Saksi juga tidak pasti adakah kesemua penerima hadir pada waktu itu. Ustaz Sulaiman juga menyatakan bukan beliau yang mengarahkan program pengagihan wang itu atau PAS Kawasan Marang yang arahkan dibuat dalam tarikh tersebut atau juga diarahkan responden.

Beliau bersetuju tarikh program dipilih sebelum pembubaran Parlimen dan ditentukan oleh TSIS, SUK, PKM dan responden tidak berperanan menentukan semua itu. Saksi juga tidak pernah memaklumkan dan tidak merasa ada keperluan untuk berbuat demikian. Responden juga tidak pernah hadir dalam mana-mana program tersebut dan tidak pernah berhubung dengan saksi sepanjang tempoh itu.

PAS tidak pernah menggunakan bangsal panas untuk memberikan wang kepada pengundi. Ia hanya berfungsi sebagai pusat bagi culaan memastikan pengundi-pengundi sesebuah parti keluar semuanya. Penerima dana tidak semestinya pengundi di Marang.

Peguam pempetisyen soal balas:

Setuju PAS Kawasan Marang berkempen dalam memastikan kemenangan responden, saksi bersetuju. Saksi ditanya berkenaan ucapan beliau dalam perasmian itu yang menyentuh berkenaan polisi kerajaan kerana saksi adalah mewakili Menteri Besar dan beliau mesti bertindak sebagai wakil kerajaan. Peguam bertanya lagi mengenai bendera yang ada di sekitar lokasi program, saksi jelas menjawab yang itu adalah kerja penganjur.

Peguam terus bertanya adakah selaku Menteri Besar dan YDP PAS Kawasan Marang, Menteri Besar mahu responden menang di Marang, YB Ustaz Sulaiman menjawab, sebagai Menteri Besar, tidak, tetapi sebagai YDP PAS Kawasan Marang, saksi menjawab ya. Adakah juga beliau sendiri sebagai SU Kawasan, Ustaz Sulaiman menjawab ya. Peguam tiada lagi soalan dan kemudiannya memohon hakim melepaskan saksi.

Pada waktu ini, YB Ustaz Sulaiman Sulong mengucapkan terima kasih atas pelepasan itu, secara berseloroh menyatakan bahawa wang saguhati beliau sebagai saksi, masih belum dibayar, lalu disambut dengan ketawa kecil pemerhati. Peguam pempetisyen lalu membalas dengan memberi jaminan, kakitangan beliau akan menguruskan wang itu. Namun katanya lagi, mengikut tanda aras bayaran pengundi luar PRU oleh Mohd Nordin Abdul Jalil, orang yang dikatakan memberi wang sambil bersumpah itu hanya sebanyak RM50. Jadi beliau akan memberikan RM50 sahaja kepada YB Ustaz Sulaiman.

Gurauan telah ditegur oleh hakim supaya lebih serius apabila berada dalam mahkamah. Ini sesuatu yang dikira oleh hakim ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang peguam berpengalaman seperti peguam pempetisyen. Perkara bayaran wang saguhati hal berbeza dengan isu yang sedang dibicarakan itu. Jenaka itu tidak menarik hakim untuk ketawa, malah memberikan amaran supaya beliau berlaku serius yang membuatkan peguam pempetisyen memohon maaf.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 20/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -