Chalet untuk kemudahan pelancong di Pondok Kandis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiga institusi pondok di Kelantan yang boleh dijadikan penanda dalam usaha kerajaan negeri untuk menjadikan pusat pendidikan tradisional tersebut sebagai destinasi pelancongan.

- Advertisement -

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata, lokasi tersebut sesuai dilawati pelancong tempatan dan luar.

Menurutnya, pondok terbabit iaitu Madrasah Ihya Ulumuddin di Kampung Berangan, Pasir Puteh; Madrasah Al Diniah Al Bakriah, Pasir Tumboh dan Pusat Pengajian Pondok di Kandis Bachok.

“Pondok Ihya Ulumudin di Kampung Berangan boleh dijadikan contoh, begitu juga pondok di Pasir Tumboh dan Kandis.

“Di Pondok Kandis kita sudah empat chalet bagi memberi peluang pelancong menginap sambil mendalami ilmu agama,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Mustapha Mohamed (Bersatu-Air Lanas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) Md Anizam menjelaskan kerajaan negeri komited untuk menjadikan institusi pendidikan agama tertua di Pasir Tumboh sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan ilmu agama.

“Rancangan kerajaan negeri sehingga setakat ini menambah baik kemudahan-kemudahan asas yang ada di Pondok Pasir Tumboh seperti memperbaiki landskap yang sesuai,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -