Semua pihak perlu hormati Islam agama Persekutuan

Masjid Putra, Putrajaya.
- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

- Advertisement -

اِنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللّٰهِ الْاِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ اِلَّا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًاۢ بَيْنَهُمْ ۗوَمَنْ يَّكْفُرْ بِاٰيٰتِ اللّٰهِ فَاِنَّ اللّٰهَ سَرِيْعُ الْحِسَابِ.

Mafhumnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (Surah Aali Imran: 19)

Alhamdulillah negara kita Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Walaupun banyak cabaran yang terpaksa dihadapi pada zaman penjajah sehingga berlakunya penentangan oleh tokoh pejuang kemerdekaan di merata tempat. Lahirnya tokoh yang tidak asing seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Mat Salleh dan lain-lain membuktikan kesedaran dan kekentalan semangat juang rakyat Malaysia (Tanah Melayu) pada waktu itu.

Kebangkitan demi kebangkitan rakyat yang berlaku akhirnya membuka ruang kepada penjajah membuka pintu rundingan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara kita.

Walaupun penjajah British yang kononnya membawa agenda ekonomi di samping agenda tersembunyi  memperkenalkan doktrin  imperialisma sekularisma salibiah kepada penduduk nusantara, namun penjajah British akhirnya akur untuk meletakkan Islam Agama Persekutuan sebelum memberikan kemerdekaan kepada negara kita.

Ini menunjukkan betapa Islam sudah menjadi pegangan dan agama anutan majoriti penduduk Malaysia sekali gus menjadi agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Justeru PAS Johor menggesa semua pihak agar dapat menghormati perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama lain diberikan kebenaran untuk diamalkan oleh penganutnya.

Bagi melahirkan semangat kebersamaan dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, sayugialah bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Segala anasir dan tindakan yang boleh disifatkan mencampuri urusan agama Islam atau boleh ditafsirkan sebagai menghina agama Islam atau membangkitkan sensitiviti masyarakat Islam terhadap tindakan tersebut, seharusnya dielakkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan kerana ianya membawa erti penghormatan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Mutakhir ini pelbagai polemik yang menguji kesabaran dan keimanan umat Islam berlaku. Tersebarnya filem seperti Mentega Terbang yang boleh ditafsirkan sebagai mempunyai unsur ke arah pluralisma agama. Program jom ziarah gereja (sudah dibatalkan oleh penganjur), perarakan membawa bendera pelangi (LGBT) dan pelbagai lagi. Perkembangan ini jika tidak diuruskan dengan bijaksana akan membangkitkan sensitiviti agama kepada umat Islam.

PAS Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah secara tegas dan teguh mempertahankan prinsip dan kesucian Islam. Semoga kesejahteraan negara akan terus terpelihara demi ummah keseluruhannya.

‘Malaysia Sejahtera’

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
26 Syaaban 1444/18 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 18/3/2023

- Advertisement -