Jasin, Tangga Batu menang selepas lama tempuhi onak duri

Kintan Man
- Advertisement -

MELAKA: Sejak Dewan Muslimat PAS Melaka (DMPNM) ditubuh sentiasa berdepan dengan rintangan dan ujian sehingga akhirnya berjaya memperolehi kemenangan di Parlimen Jasin dan Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM), Kintan Man berkata, mengisi dan mengekalkan kemenangan memerlukan semurni-murni keikhlasan.

“Keikhlasan dalam perjuangan insya-Allah akan menatijahkan limpahan kurnia daripada Allah SWT,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada perasmian Muktamar Tahunan DMPNM Kali Ke-54 di Dewan Ma’ahad Ar-Rahmah hari ini.

Kintan juga berkata, DMPNM mengangkat tema ‘Keikhlasan Teras Kemenangan’ pada muktamar kali ini berpandukan janji Allah SWT yang bermaksud:

‘Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi.

Tambahnya tema ‘ikhlas’ bertepatan dengan pola politik PAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat sehingga berjaya menawan empat negeri di Semenanjung Malaysia.

“Tidak mustahil kita mampu menawan beberapa buah negeri lagi dalam pilihan raya akan datang khususnya Melaka insya-Allah.

“Imam Hassan Al-Banna mengatakan apa yang dimaksudkan ikhlas ialah setiap kata-kata amalan dan jihad demi kerana Allah, untuk mencari keredaan Allah dan mencari ganjaran tanpa memandang sebarang imbuhan kemegahan gelaran dan populariti,” ujarnya.

Sementara itu sketsa yang menampilkan tokoh Assabiqat, bonda Shopia Ahmad, 74, pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Melaka menyentuh hati sebahagian besar perwakilan.

Dialog yang diucapkan bonda Shopia yang lebih dikenali sebagai ‘Mak Piah’ menimbulkan suasana sayu di waja perwakilan yang hadir terutama bagi golongan muda.

Dalam monolog sayu Mak Piah pada permulaan sketsa, beliau mengeluh tentang kurangnya anak-anak muda yang mahu membantu bergerak sebagai amilin dalam perjuangan menegakkan Islam.

Kemudian masuk pula satu watak yang dibawa oleh pempengaruh TikTok Muslimat Hawa Yaakub mengunjungi Mak Piah bagi bertanya khabar.

Hawa dalam sketsa itu menenangkan Mak Piah dengan memberi keyakinan bahawa dalam perjuangan Islam Allah SWT pasti akan menghantar pelapis bagi meneruskan perjuangan.

Sketsa itu turut menampilkan Pengarah Ameerah Melaka, Humairah Jameelah Isa yang membawa watak seorang anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara dan menawarkan diri untuk menjadi amilin PAS.

“Saya datang sini datang ke markas ni saya nak lapor diri. Bersedia berkhidmat untuk Islam,” kata Humairah. – HARAKAHDAILY 18/3/2023

- Advertisement -